Wednesday 14 November 2012

SALAM MAAL HIJRAH - Coretan ringkas



“aku berazam sempena tahun baru ni, aku nak jadi baik”

“aku nak pakai motor besar”

“aku nak buktikan bahawa aku boleh jadi anak yang soleh untuk ibu bapa aku”

“aku nak ke bulan”….
“aku nak menuju PUTRAJAYA”

 Dan tidak terkecuali ;

“sempena tahun baru hijrah ni,aku berazam nak kumpul duit banyak-banyak, nak KAHWIN”…

Seulas senyuman terukir di garis bibir saya mengenangkan ulah sahabat-sahabat serta teman-teman saya taktala diajukan soalan berkenaan azam tahun baru mereka. Pelbagai jawapan, pelbagai keleteh yang kadang-kadang tidak masuk akal bila difikirkan semula rasional azam mereka. Namun, bersikap optimis itu penting bukan?..=)…

HIJRAH




Bila berbicara soal hijrah, perkara pertama yang sering terlintas di fikiran kita semua adalah kisah penghijrahan nabi Muhammad dan umat Islam ketika itu yang berhijrah dari kota Mekah ke kota Madinah. Nabi keluar dari rumah baginda bersama Abu Bakar al-Siddiq menuju ke Gua Thur. Mereka berada dalam gua tersebut selama tiga malam.Pada hari pertama Rabiulawal baginda dan Abu Bakar keluar dari Gua Thur lalu memulakan hijrah ke Yathrib yakni Madinah dipandu oleh Abdullah bin 'Uraiqit. Mereka tidak melalui jalan biasa bagi tujuan keselamatan. Pada hari Isnin 8 Rabiulawal, nabi sampai di Quba' dan mereka berada di sana selama empat hari serta mengasaskan Masjid Quba yang al-Quran iktiraf sebagai masjid yang didirikan atas dasar taqwa.Pada 12 Rabiulawal, setelah solat Jumaat baginda memasuki Yathrib yang kemudian dinamakan Madinah al-Munawarah.
Malah seingat saya, ketika kecil bila menjelangnya tiba tahun baru hijrah dalam kalendar Islam, kita sering didendangkan dengan lagu hijrah yang dimainkan oleh kumpulan Al-ajiba,sehinggakan setiap bait lagu tersebut menjadi siulan anak-anak kecil ketika itu. Namun apakah yang dimaksudkan dengan hijrah yang sebenar?

Hijrah berasal daripada kata kerja hajara (هجر) bermaksud meninggalkan, memutuskan atau keluar dari sebuah negeri ke negeri yang lain.
Sebelum Fathu Makkah, hijrah ke Madinah, tempat terlaksananya kedaulatan Islam, diwajibkan ke atas seluruh Muslimin kecuali mereka yang mempunyai keuzuran tertentu. Selepas Makkah berjaya dikembalikan ke tangan umat Islam, manusia memasuki agama Allah berbondong-bondong dan mereka telah bebas melaksanakan Islam serta mendirikan syiarnya di mana jua, maka tiada lagi keperluan untuk berhijrah ke Madinah. Baginda telah bersabda (maksudnya):
“Tiada hijrah selepas al-Fath (Pembukaan Makkah), tetapi jihad dan niat. Dan apabila kamu dikerah untuk pergi berjuang, maka segeralah manyahutnya!”
Hijrah ini boleh dibahagikan kepada dua hijrah yakni hijrah fizikal dan hijrah dengan hati kepada ALLAH dan Rasulnya.
Nabi s.a.w. bersabda, "Orang yang sempurna Islamnya ialah orang yang kaum muslimin terselamat dari gangguan lisan dan tangannya dan orang yang berhijrah sebenarnya ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah". (HR Bukhari no 6484)

Menyoroti kisah hijrah nabi Muhammad ke Madinah, tidak terhitung hikmah besar yang terkandung dalam kisah agung ini. Malahan, ketika berhijrah dari mekah ke Madinah terdapat satu aspek penting yang boleh dijadikan teladan kepada kita semua dalam kita menghijrahkan diri kita kearah lebih baik iaitu aspek PENGORBANAN. Bagaimana semangat serta pengorbanan nabi serta para sahabat ketika itu yang sanggup meninggalkan tanah air tercinta semata-mata menyahut seruan ALLAH bagi mengembangkan agama Islam patut dijadikan contoh serta inspirasi kepada kita untuk berubah menjadi lebih baik. Untuk berjaya, perlukan pengorbanan. Untuk menjadi pelajar cemerlang perlukan pengorbanan, untuk menjadi anak yang soleh perlukan pengorbanan malah untuk menjadi seorang yang kaya sekalipun perlukan kepada pengorbanan.  Namun berapa ramai antara kita yang benar-benar menjadikan kisah hijrah ini, semangat hijrah ini satu azimat dalam kehidupan kita?malah berapa ramai yang benar-benar mengimplimentasikan semangat hijrah dalam kehidupan seharian mereka?

Jika ditanya pandangan saya mengenai hijrah, saya berpendapat hijrah ini membawa maksud perubahan dari satu tahap ke satu tahap yang baik dan dari tahap yang baik kepada tahap yang lebih baik. Seharusnya kita punya rasa dan azam untuk berubah dari yang kurang baik kepada yang lebih baik, dari dunia kegelapan kepada dunia kebenaran, jadikan tahun ini lebih baik dari tahun-tahun sebelum ini agar kita tidak termasuk dalam golongan yang rugi dan celaka tetapi menjadi sebahagian daripada hamba- hamba yang beruntung. Sebagaimana hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim, mafhumnya;

“Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yang beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia, lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka” 

Dan suka saya hendak kongsikan bahawa azam atau semangat tahun baru hijrah ini bukannya dibuat kerana ianya atas niat meraikan tahun baru hijrah semata. Malah setiap hari, kita dianjurkan untuk bermuhasabah diri kita supaya hari-hari yang kita lalui adalah lebih baik dari hari yang telah berlalu. Tajdid niat kita dalam setiap amalan yang dibuat, moga-moga setiap amalan kita dipandang sebagai satu ibadah di sisi ALLAH.

1 MUHARRAM 1434 HIJRAH

Hari ini bakal berakhirnya bulan zulhijjah, dan akan bermulanya bulan muharam...tahun baru buat kita semua...bersyukur ke hadrat illahi kerana masih diberi peluang untuk sekali lagi menyambut tahun baru mengikut bulan islam. Segala nikmat yang diberikan termasuk nikmat iman, islam, kesihatan, kesejahteraan dan keamanan telah kita rasakan pada tahun lalu, berdoalah agar Allah peliharakan masih anugerahkan segala nikmatNya pada kita untuk tahun yang akan datang dan tahun-tahun seterusnya.

Tanggal 15 November 2012 bersamaan 1 Muharam 1434 Hijrah, yakni malam ini dengan izinNya kita akan menyambut Maal Hijrah. Oleh itu, di sini saya ingin kongsikan doa akhir tahun dan awal tahun yang sering kita baca setiap kali menjelang tahun baru muharam... Doa akhir tahun dibaca pada penghujung waktu asar manakala doa awal tahun dibaca setelah masuk waktu maghrib. Namun suka ingin saya ingatkan pada teman-teman, bahawa doa boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja. Doalah yang menjadi kekuatan kita, yang menjadi penghubung antara kita dan Pencipta. Ada yang berpendapat bahawa membaca doa awal dan akhir tahun ini adalah salah satu daripada perkara bidaah kerana tidak dilakukan pada zaman nabi. Perkara yang bidaah banyak kategorinya, mungkin dapat diulaskan suatu hari nanti namun dalam hal ini, ianya bergantung bagaimana cara pemikiran dan tahap kefahaman kita. Isu bidaah timbul apabila terlalu percaya dan yakin bahawasanya apabila membaca doa ini segala dosa yang dilakukan sepanjang tahun lalu diampunkan dan tidak akan diganggu sepanjang tahun akan datang sedangkan doa ini sekadar usaha kita dan segalanya terletak pada ketentuan ALLAH. Saya berpendapat bahawa selagi mana kita membaca doa yang membawa kepada kebaikan dan menepati syara’, tidak mengapa untuk meminta pada yang sepatutnya kita pinta. Mohon padanya agar dosa-dosa yang lalu diampunkan..mohon agar kita tetap dipimpinNya pada masa akan datang.








Akhir sekali teman-teman, SALAM MAAL HIJRAH 1434 Hijrah !
Ayuh tranformasi diri menuju Rabbani..=)




Mohd Syakirin Bin Md Zahar
Timbalan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM)
Pengerusi Majlis Dakwah dan Kebajikan GAMIS

PMIUPM :PENCETUS INSPIRASI
GAMIS :GAMIS MEMPIMPIN PERUBAHAN

Saturday 10 November 2012

Ia belum berakhir-Dedikasi Khas I-FEST (hari terakhir)


Tanggal 4 november 2012 merupakan hari terakhir bagi program I- fest di bumi UPM. Program terakhir adalah konsert inspirasi yang dihadiri golongan insan- insan terpilih seperti Imam Muda Nazrul bersama zaujahnya, Yatt Hamzah bersama keluarga (anak,suami dan sahabat), Syam Kamikaze dan Ustaz Mawi (alumni UPM ) bersama anak- anak qasidah beliau. Masing- masing mempersembahkan yang terbaik, menyampaikan hiburan yang berlandaskan konsep hiburan yang sebenar dalam islam dan menyelitkan ajaran agama islam mengikut kreativiti yang ada pada diri. Persembahan lain yang juga banyak memberi inspirasi pada anak muda khususnya mahasiswa mahasiswi UPM ialah persembahan adik-adik qasidah dan Teater Hassan Al- Banna. Kedua –dua persembahan ini membawa kita mengenang dan mengingati perjuangan kekasih Allah yakni Rasulullah s.a.w. dan as- syahid Hassan Al Banna dalam menegakkan agama islam.

Walaupun hari terakhir, banyak perkongsian dan ilmu yang diperolehi yang saya kira penting bagi diri ini menyampaikan apa yang diketahui agar ilmu itu berkembang biak. Dari Abu Musa r.a katanya, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Perumpamaan petunjuk dan ilmu pengetahuan yang Allah mengutuskan aku untuk menyampaikannya seperti hujan lebat jatuh ke bumi. Bumi itu ada yang subur menghisap air, menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan rumput-rumput yang banyak. Ada pula yang keras, tidak menghisap air sehingga tergenang. Maka Allah memberi manfaat dengan ia kepada manusia. Mereka dapat minum dan memberi minum (binatang ternak dan sebagainya), dan untuk bercucuk tanam. Dan ada pula hujan yang jatuh ke bahagian lain iaitu di atas tanah yang tidak menggenangkan air dan tidak pula menumbuhkan rumput. Begitulah perumpamaan orang yang belajar agama yang mahu memanfaatkan apa yang aku disuruh Allah menyampaikannya, dipelajarinya dan diajarkannya. Dan begitu pula perumpamaan orang yang tidak mahu memikirkan dan mengambil peduli dengan petunjuk Allah yang aku diutus untuk menyampaikannya.” (Bukhari)

Perkongsian yang paling menarik adalah bilamana novelis- novelis islamik tanah air seperti Ustazah Fatimah Syarha, Ustaz Syed Alwi dan Hilal Asyraf  menghuraikan dan berkongsi pengalaman masing- masing dalam Forum Cinta : Aku, Kau dan Dia. Semasa ni jugalah saya menjadi moderator hingga digelar ‘ahli panel’ keempat oleh teman-teman saya. Tajuknya sahaja sudah mampu menarik ramai siswa dan siswi kampus untuk menyertai forum tersebut apatah lagi dengan kehadiran ahli panel yang cukup arif dan terkenal dalam kepakaran mengulas tentang cinta. Antara persoalan- persoalan yang telah terjawab adalah definisi cinta yang sebenar, konsep nikah khitbah, soal pemilihan pasangan dan cara mengubat hati apabila putus cinta atau pinangan ditolak.

Definisi cinta berbeza-beza mengikut fahaman masing-masing dan sebaik-baik definisi adalah yang berlandaskan al-Quran dan Sunnah, berpaksikan cinta Allah dan Rasulullah bukan berlandaskan akal fikiran dan berpaksikan nafsu. Ustazah Fatimah mengatakan bahawa cinta itu fitrah, fitrah akan jadi jernih bila ada fikrah yang jelas, fitrah kalau tidak dijaga boleh bertukar menjadi fitnah dan fitrah boleh jadi barakah dengan didikan al- Quran dan sunnah. Cinta boleh dipuji mahupun dicela mengikut cara kita menguruskan cinta. Disebabkan cinta Allah yang dicari, kita diizinkan untuk cinta kepada alat (ibu bapa, suami, anak- anak sahabat-sahabat dsb).

Ustaz Syed Alwi menjelaskan pula tentang konsep nikah khitbah yang sedikit berbeza dengan konsep nikah biasa. Nikah khitbah boleh didefinisikan sebagai satu ikatan perkahwinan yang sah tetapi isteri masih di bawah tanggungan kedua ibu bapa sehingga keduanya bersedia untuk tinggal bersama. Terkadang ibu bapa tidak berapa yakin dengan kebolehan anak- anak dalam menguruskan rumah tangga di usia muda dan sekaligus tidak mengizinkan anak –anak mereka berkahwin walaupun dengan ikatan nikah khitbah. Apa yang difikirkan oleh kedua orang tua kadang ada betulnya, terutamanya bagi yang masih dalam dunia kampus. Ustaz Syed Alwi menjawab persoalan ini dengan menyatakan hanya satu yang akan meyakinkan kedua ibu bapa, iaitu perancangan yang rapi diiringi dengan usaha dalam mencapai apa yang dirancangkan. Bukan itu sahaja, ustaz juga ada mengatakan apabila cinta ditolak ataupun putus cinta, ucapkanlah ALHAMDULILLAH kerana kegagalan itu adalah pilihan dari Allah buat hambaNya. Dia lebih mengetahui apa yang paling layak buat ciptaanNya. Mencintai pilihan Allah jauh lebih baik. Kekecewaan yang melampaui batasan dapat dielakkan jika kita mengamalkan sikap bersederhana dalam mencintai dan membenci.

Ahli panel yang terakhir iaitu Saudara Hilal Asyraf pula berkongsi pengalamannya dalam membuat pemilihan pasangan hidupnya. Dia hanya meletakkan tiga syarat ringkas yang perlu ada pada seorang wanita yang ingin dijadikan ibu kepada anak-anaknya. Syarat- syarat tersebut ialah memiliki perasaan ingin hidup dalam agama, ada rasa ingin memperbaiki diri dan mempunyai sifat malu yang tinggi. Nasihatnya dalam membuat pilihan; “ janganlah kamu meletakkan ciri-ciri yang akan menyusahkan diri sendiri dan orang lain”. Paksi ketaqwaan yang ada pada seseorang membantunya dalam membuat pilihan pasangan yang terbaik sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;

"Dinikahi wanita itu kerana empat perkara, kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah dalam hal keagamaannya. Nescaya beruntunglah kedua-dua tanganmu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah s.a.w. mendidik kita lebih mengutamakan agama dalam pemilihan kerana ianya tidak akan hilang ditelan zaman seperti ciri-ciri lain. Hartanya, keturunannya dan kecantikannya akan hilang bila-bila masa Allah kehendakinya dan kebahagiaan dalam rumah tangga dirasai apabila mempunyai pasangan yang berbahagia dengan cinta Allah dan Rasulullah. Kita semua mahukan kebahagiaan, tapi jangan pernah lupa, Allah juga mahu hambaNya merasai kebahagiaan sebagaimana firmanNya dalam surah Al- Baqarah petikan dari ayat 185 yang bermaksud;

“......(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran....”

Forum berakhir dengan penuh pengertian apabila ahli panel membuat satu kesimpulan yang sarat dengan persoalan; membuatkan sidang hadirin berfikir dan muhasabah diri kembali. Inginkan pasangan yang terbaik tapi bagaimana dengan diri??sudah cukupkah zikir dan amalan-amalan yang lain?? Apakah jenis bacaan dan hiburan kita??? Tanyakan pada hati, bisikkan pada diri, layakkah ku untuk dicintai dan mencintai andai diri tidak mencintai yang selayaknya untuk dicintai yakni Allah dan Rasul....renungkan firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda Yang kamu usahakan, dan perniagaan Yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal Yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara Yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)”. (al-Taubah: 24) 

Hari diteruskan dengan aktiviti dan pertandingan yang menarik seperti sukan rakyat bagi muslimat, berkayak anjuran smart sport, futsal muslimin dan pertandingan memasak yang diadakan di sekitar kolej serumpun. Semua pemenang bagi setiap pertandingan memperolehi hadiah masing- masing pada malamnya setelah selesai konsert inspirasi. Ia berakhir tepat jam 11.35 malam. Festival berakhir bukan bermakna perjuangan kita berakhir. program sekadar satu cara untuk menyampaikan dakwah, selesai program, perjuangan tetap diteruskan sehingga kita menghembuskan nafas terakhir.

Untuk teman-teman penggerak I-FEST, tahniah dan syabas atas komitmen anda semua..!...




Mohd Syakirin bin Md Zahar
Timbalan Presiden,
Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM)

PMUPM : PENCETUS INSPIRASI


Thursday 8 November 2012

Kasih sayang Rasulullah s.a.w- Coretan ringkas


Bismillahirrahmanirrahim...

Ayuh mulakan hari yang penuh barakah ini dengan selawat dan salam ke atas junjungan mulia kekasih Allah, Rasulullah s.a.w..Tika dan saat ini, terdetik di hati ingin berkongsi dengan sahabat- sahabat dan sekadar peringatan buat diri ini juga yang senantiasa lupa akan kasih Allah S.W.T  dan kasih Rasulullah s.a.w.

Akhlak Rasulullah adalah akhlak Quranul karim. Jika ingin dikupas segala akhlak mulia Baginda s.a.w mungkin tidak akan pernah cukup ruang yang sedikit ini, dengan ini cukuplah kiranya saya kongsikan tentang sifat kasih sayang Rasulullah s.a.w terhadap sahabat- sahabat Baginda. Rasulullah s.a.w membahagikan kasih sayangnya dengan adil kepada para sahabat, tidak ada yang terlebih dan tidak ada yang terkurang. Layanan dan pujian diberikan secara sama rata kepada para sahabat. Oleh sebab itulah, tidak ada di kalangan para sahabat yang mempunyai perasaan dengki antara satu sama lain apabila Rasulullah memuji salah seorang dari mereka kerana mereka tahu mereka juga dikasihi Baginda.



Cuba kita tanyakan pada diri kita, apakah selama hidup kita, selama persahabatan yang kita jalinkan, pernahkah ada di kalangan sahabat kita yang termakan hati dengan kata- kata kita, terguris dek perbuatan kasar kita, merajuk kerana sifat tak endah kita, menyimpan dengki pada kita disebabkan layanan kita pada sahabat- sahabat tidak sama??? Pernahkah kita cari penyelesaian untuk mengembalikan rasa kasih dan sayang sesame kita??

Kita memang tidak akan mampu menjadi seadil Rasulullah dalam bersahabat, tapi kita harus mencuba untuk memperbaikinya kerana mencuba lebih baik dari tidak melakukan apa-apa.  Kadang- kadang cukup sekadar bertanyakan khabar mereka, dahulukan salam apabila bertemu di mana-mana dan hadiahkanlah buat mereka satu senyuman yang paling manis agar mereka tahu kita sentiasa ingat dan menghargai mereka senagai seorang sahabat.
 
Saya teringat tentang kisah Rasulullah yang pernah diceritakan oleh seorang ustaz, Rasulullah sangat kasih dan sayang pada para sahabat sehinggakan Baginda tahu akan ketiadaan seorang sahabat, yang tidak terlihat oleh Baginda dua atau tiga hari dan Baginda akan terus bertanya pada sahabat yang lain kemanakah perginya sahabat Baginda tersebut. Di sini dapat dilihat betapa Rasulullah teliti dalam mengenal setiap para sahabat yang begitu ramai.

Bukan itu sahaja, pernah satu ketika, ada seorang sahabat yang duduk di sebelah Rasululah, dalam keadaan yang terhimpit- himpit, sahabat tadi terhimpit peha Rasulullah, Baginda s.a.w tidak berganjak dari tempat duduknya dan hanya membiarkannya begitu sahaja. Rasulullah bimbang sahabatnya akan menganggap yang Rasulullah tidak sudi untuk duduk di sebelahnya... betapa Rasulullah pandai menjaga hati para sahabat. Adakah kita akan cuba untuk mencontohi Rasulullah dalam bersahabat??? Jom ajukan soalan itu pada diri kita sendiri..

Akhir kata, ingin juga saya kongsikan kata- kata Imam Syafie yang cukup memberi 1001 pengertian bagi insan yang benar-benar menghargai dan memahami erti sebuah persahabatan.. renungkan ia buat seketika :

Aku menyayangi sahabatku dengan segenap jiwaku. Sahabat yang baik adalah yang seiring denganku dan menjaga nama baikku ketika aku hidup atau selepas mati. Kuhulurkan tangan kepada sahabatku untuk berkenalan kerana aku akan berasa senang. Semakin ramai sahabat, aku semakin percaya diri. Aku selalu berharap mendapat sahabat sejati yang tidak luntur dalam suka dan duka. Jika aku dapat, aku akan setia padanya."



Hidupkan suburkan hati untuk mencintai Allah dan Rasul, lebarkan sayap kasih dan sayang untuk sesama makhluk di muka bumi, bentangkan tangan doakan seluruh alam , lembutkan lidah sampaikan salam, didik diri kenali sahabat dunia akhirat... dimanakah sahabat sekarang???sihatkah mereka???bagaimana kehidupan seharian (makan,minum,tidur) mereka??? Keluarga mereka???pernahkah kita mengambil berat tentang sahabat- sahabat??? Soal diri sendiri, hanya diri yang menyoal akan tahu jawapannya.

Salam Sayyidul Ayyam !..=)


Mohd Syakirin bin Md Zahar
Timbalan Presiden, Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM)/
Penegerusi Majlis Dakwah Kebajikan GAMIS..~


PMIUPM : PENCETUS INSPIRASI
GAMIS : GAMIS MEMPIMPIN PERUBAHAN

Beramah Mesra