Sunday, 16 December 2012

Ekspedisi MUslimin..=)

Perjalanan ke Gunung Dato' bermula seawal jam 8.30 pagi. 22 orang muslimin beserta 10 motor berkuasa kecil bersama sebuah kereta kecil bernama kancil sedia berlepas untuk ke destinasi..Perjalanan mengambil masa hampir 2 jam dan akhirnya kami tiba selepas mengerah keringat memacu kenderaan untuk ke Gunung Dato'..namun perancangan asal untuk mendaki Gunung Dato' bertukar sebaliknya apabila pihak keselamatan di sana tidak memebenarkan kami untuk meneruskan perjalanan atas faktor keselamatan dan masa pendakian yang agak lambat. Walaupun setelah rundingan dilakukan dengan pihak di sana, kami tetap tidak dibenarkan untuk meneruskan pendakian kami. Dan akhirnya setelah berbincang, akhirnya kami sepakat untuk berpatah balik semula ke UPM dan menukar destinasi bayaran kami ke Bukit Saga di Cheras.
  Beberapa ibrah atau pengajaran yang sempat diteliti oleh saya untuk diambil pengajarannya :

1-Tersusun Strategi
 
 "kebenaran yang tidak tersusun akan dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun"..kata-kata masyhur dari Saidina Ali r.a yang cukup memberi pengajaran dan kepada kita semua. Dalam merancang sesuatu perkara terutamanya melibatkan sesebuah gerakan atau organisasi, perlukan kepada sebuah perancangan yang cukup teliti. Bagaimana, sesebuah maklumat itu diperolehi dan digunakan, penyusanan Human Reources yang teliti, penelitian perkara dari sekecil perkara hingga kepada sebesar perkara perlu dititik beratkan supaya gerakan atau sesebuah organisasi itu dapat berfungsi dengan cukup baik dalam erti kata lain berfungsi dengan cera yang 'competent'. Jika tidak, ianya secara jelas akan menjejaskan pergerakan organasisi tersebut dan akan mudah dikalahkan oleh pesaing terdekatnya. Maka dari perjalanan tersebut membuahkan satu pengajaran yang cukup berharga kepada diri saya supaya berfikir dengan mendalam bahawa suatu perancangan itu perlu kepada satu penelitian yang teliti dan perkara ini perlu diaplikasikan dalam kehidupan kita terutamnaya apabila melibatkan perencanaan pergerakan sebuah gerakan ataupun organisasi. Benar apa yang berlaku itu mungkin sebuah perancangan yang ditentukan ALLAH, namun usaha kita sebagai sebuah sunnatullah perlu seiring dengan kebergantungan kita kepada ALLAH sebagai satu syariatullah dan apabila digabungkan dua elemen ini, ianya akan  membentuk sebuah perkataan yang diberi nama "kejayaan".


2- As-sukhriyyah
http://hasbiemuda.files.wordpress.com/2012/02/a011-f3d8fe1a55c64642ebdc2a1607be1c40.png 
 
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) nencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” Al-Hujuraat ayat 11 


Al-sukhriyyah  dari ayat diatas ( yashar) atau dalam erti kata lain perlian, sindiran atau sarcasm. Mungkin ini perkara terpencil yang berlaku sepanjang perjalanan kami. Namun perkara ini tidak sempat untuk saya kongsikan bersama sahabat-sahabat ekpedisi semalam atas faktor kekangan masa. Saya melihat perkara ini, perlian atau cacian atau sarcasm seolah sudah menjadi satu amalan dalam kehidupan seharian kita. Al-sukhriyyah ini digambarkan sebagai satu perbuatan menghina yang memalukan samada melalui gerak geri yang melucukan, perkataan lucu ataupun melalui isyarat atau simbol kepada orang yang yang dihina. Perbuatan seperti ini meninggalkan kesan dihati orang yang dihina sehingga boleh menimbulkan rasa dendam, sakit hati yang melampau dan seumpamanya. Dari ayat ini, ALLAH secara jelas memberi peringatan bawaha perbuatan sarcasm ini diharamkan dalam agama kerana sukhriyyah itu secara tidak langsung mematikan hati kita. Kerana apa?kerana kita gagal melihat kelemahan diri kita dan hanya melihat kelemahan diri orang lain. Ianya juga melahirkan sifat ego yang tinggi, sombong dan juga memandang rendah kepada orang lain

3- Tarbiah alam 

Daripada Abu Hurairah r.a, beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda: Seorang mukmin yang kuat itu adalah lebih baik dan disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah, dan pada semua daripada mereka adalah baik, berlumba-lumbalah kamu ke atas manfaat dan mintalah pertolongan daripada Allah dan janganlah bersikap lemah atau malas.” (HR Muslim)

Al-Imam an-Nawawi menjelaskan, maksud al-qawi bermakna kuat.
Ini bermakna kuat dalam perkara-perkara yang mendorong amalan berbentuk ukhrawi. Iaitu kuat mengajak kepada makruf dan mencegah daripada kemungkaran.

Malah apabila diperhatikan salah satu daripada 10 muwasafat tarbiah ada ditekankan mengenai tubuh badan yang sihat. Sepanjang perjalanan mendaki bukit Saga, tidak dinafikan segala keringat dipertaruhkan untuk sampai ke puncak. Diakhirnya selepas bersusah payah mendaki , akhirnya kami tiba di air terjun bukit saga pada jam hampir 5 petang. Dan perancangan ALLAH cukup hebat. Kami diuji  dengan hujan lebat yang menggila pada waktu tersebut hingga menyebabkan aliran air terjun yang cukup deras membuatkan kami mula risau dengn keselamtan diri kami masing2. Namun laungan kalimah ALLAHUKABAR serta alunan zikir dan mathurat yang dialunkan sepanjang keberdudukan kami disitu sedikit sebanyak membantu kami menenangkan diri kami hingga akhirnya hujan reda hampir jam 6 petang barulah kami meneruskan jalan pulang. Mungkin inillah yang dikatakan tarbiah alam kepada kami. Pendakian islamik kata seorang teman..tersenyum saya dengan ulah tersebut. Malah sepanjang pemerhatian saya terutamanya pada aliran air terjun yang indah, terdetik pada hati saya bahawa ilmu yang baik seharusnya dilalirkan kepada orang ramai seperti mengalirnya air terjun tersebut. Walupun dihalang batu besar atau halangan lain, ianya tetap mengalir dengan segala sudut yang ia mampu untuk mengalir..=)

4- Ukhuwah Islamiyyah 

Pertemuan pertama kali dengan sahabat baru yang dikenali membuahkan satu ikatan utuh yang diberi nama ukhuwah. Antara perkara yang tidak dapat dilupkan, Makan maggi berkuahkan air hujan dalam suasana hujan yang cukup lebat di dalam hutan lipur yang semakin meniti waktu senja ketika itu..Berlatarkan air terjun yang cukup deras hasil tolakan padu sang hujan yang membuahkan satu derasan air terjun yang cukup luar biasa...bila diteliti kepada perjalanan air terjun tersebut, seribu satu hikmah bermain dan muncul di fikiran...=)
perancangan ALLAH diaturkan cukup cantik..dari negeri sembilan berpatah semula ke UPM dan akhirnya ke Cheras untuk mendaki bukit Saga bersama hampir 20 teman2 yang lain...pelbagai hikmah. pengajaran dan mutiara berharga berjaya dikutip dan dikongsikan bersama sepanjang perjalanan dari pagi hingga berakhir jam 9 malam...keletihan yang teramat namun diakhirnya ALLAH aturkan dan hadirkan satu kepuasan yang cukup bernilai

Terima kasih teman-teman atas perkenalan ini..=)

Sekadar pandangan peribadi dan perkongsian bersama teman-teman ekspedisi yang lain..MUSLIMIN POWER!!..=)
 
Aliran air terjun deras akibat tolakan hujan lebat yang padu

Bersama pemain bola sepak UPM, rabien..=)

Sebelum perjalanan pulang menuruni puncak


Menikmati keindahan nikmat dari ALLAH

Wednesday, 14 November 2012

SALAM MAAL HIJRAH - Coretan ringkas



“aku berazam sempena tahun baru ni, aku nak jadi baik”

“aku nak pakai motor besar”

“aku nak buktikan bahawa aku boleh jadi anak yang soleh untuk ibu bapa aku”

“aku nak ke bulan”….
“aku nak menuju PUTRAJAYA”

 Dan tidak terkecuali ;

“sempena tahun baru hijrah ni,aku berazam nak kumpul duit banyak-banyak, nak KAHWIN”…

Seulas senyuman terukir di garis bibir saya mengenangkan ulah sahabat-sahabat serta teman-teman saya taktala diajukan soalan berkenaan azam tahun baru mereka. Pelbagai jawapan, pelbagai keleteh yang kadang-kadang tidak masuk akal bila difikirkan semula rasional azam mereka. Namun, bersikap optimis itu penting bukan?..=)…

HIJRAH




Bila berbicara soal hijrah, perkara pertama yang sering terlintas di fikiran kita semua adalah kisah penghijrahan nabi Muhammad dan umat Islam ketika itu yang berhijrah dari kota Mekah ke kota Madinah. Nabi keluar dari rumah baginda bersama Abu Bakar al-Siddiq menuju ke Gua Thur. Mereka berada dalam gua tersebut selama tiga malam.Pada hari pertama Rabiulawal baginda dan Abu Bakar keluar dari Gua Thur lalu memulakan hijrah ke Yathrib yakni Madinah dipandu oleh Abdullah bin 'Uraiqit. Mereka tidak melalui jalan biasa bagi tujuan keselamatan. Pada hari Isnin 8 Rabiulawal, nabi sampai di Quba' dan mereka berada di sana selama empat hari serta mengasaskan Masjid Quba yang al-Quran iktiraf sebagai masjid yang didirikan atas dasar taqwa.Pada 12 Rabiulawal, setelah solat Jumaat baginda memasuki Yathrib yang kemudian dinamakan Madinah al-Munawarah.
Malah seingat saya, ketika kecil bila menjelangnya tiba tahun baru hijrah dalam kalendar Islam, kita sering didendangkan dengan lagu hijrah yang dimainkan oleh kumpulan Al-ajiba,sehinggakan setiap bait lagu tersebut menjadi siulan anak-anak kecil ketika itu. Namun apakah yang dimaksudkan dengan hijrah yang sebenar?

Hijrah berasal daripada kata kerja hajara (هجر) bermaksud meninggalkan, memutuskan atau keluar dari sebuah negeri ke negeri yang lain.
Sebelum Fathu Makkah, hijrah ke Madinah, tempat terlaksananya kedaulatan Islam, diwajibkan ke atas seluruh Muslimin kecuali mereka yang mempunyai keuzuran tertentu. Selepas Makkah berjaya dikembalikan ke tangan umat Islam, manusia memasuki agama Allah berbondong-bondong dan mereka telah bebas melaksanakan Islam serta mendirikan syiarnya di mana jua, maka tiada lagi keperluan untuk berhijrah ke Madinah. Baginda telah bersabda (maksudnya):
“Tiada hijrah selepas al-Fath (Pembukaan Makkah), tetapi jihad dan niat. Dan apabila kamu dikerah untuk pergi berjuang, maka segeralah manyahutnya!”
Hijrah ini boleh dibahagikan kepada dua hijrah yakni hijrah fizikal dan hijrah dengan hati kepada ALLAH dan Rasulnya.
Nabi s.a.w. bersabda, "Orang yang sempurna Islamnya ialah orang yang kaum muslimin terselamat dari gangguan lisan dan tangannya dan orang yang berhijrah sebenarnya ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah". (HR Bukhari no 6484)

Menyoroti kisah hijrah nabi Muhammad ke Madinah, tidak terhitung hikmah besar yang terkandung dalam kisah agung ini. Malahan, ketika berhijrah dari mekah ke Madinah terdapat satu aspek penting yang boleh dijadikan teladan kepada kita semua dalam kita menghijrahkan diri kita kearah lebih baik iaitu aspek PENGORBANAN. Bagaimana semangat serta pengorbanan nabi serta para sahabat ketika itu yang sanggup meninggalkan tanah air tercinta semata-mata menyahut seruan ALLAH bagi mengembangkan agama Islam patut dijadikan contoh serta inspirasi kepada kita untuk berubah menjadi lebih baik. Untuk berjaya, perlukan pengorbanan. Untuk menjadi pelajar cemerlang perlukan pengorbanan, untuk menjadi anak yang soleh perlukan pengorbanan malah untuk menjadi seorang yang kaya sekalipun perlukan kepada pengorbanan.  Namun berapa ramai antara kita yang benar-benar menjadikan kisah hijrah ini, semangat hijrah ini satu azimat dalam kehidupan kita?malah berapa ramai yang benar-benar mengimplimentasikan semangat hijrah dalam kehidupan seharian mereka?

Jika ditanya pandangan saya mengenai hijrah, saya berpendapat hijrah ini membawa maksud perubahan dari satu tahap ke satu tahap yang baik dan dari tahap yang baik kepada tahap yang lebih baik. Seharusnya kita punya rasa dan azam untuk berubah dari yang kurang baik kepada yang lebih baik, dari dunia kegelapan kepada dunia kebenaran, jadikan tahun ini lebih baik dari tahun-tahun sebelum ini agar kita tidak termasuk dalam golongan yang rugi dan celaka tetapi menjadi sebahagian daripada hamba- hamba yang beruntung. Sebagaimana hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim, mafhumnya;

“Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yang beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia, lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka” 

Dan suka saya hendak kongsikan bahawa azam atau semangat tahun baru hijrah ini bukannya dibuat kerana ianya atas niat meraikan tahun baru hijrah semata. Malah setiap hari, kita dianjurkan untuk bermuhasabah diri kita supaya hari-hari yang kita lalui adalah lebih baik dari hari yang telah berlalu. Tajdid niat kita dalam setiap amalan yang dibuat, moga-moga setiap amalan kita dipandang sebagai satu ibadah di sisi ALLAH.

1 MUHARRAM 1434 HIJRAH

Hari ini bakal berakhirnya bulan zulhijjah, dan akan bermulanya bulan muharam...tahun baru buat kita semua...bersyukur ke hadrat illahi kerana masih diberi peluang untuk sekali lagi menyambut tahun baru mengikut bulan islam. Segala nikmat yang diberikan termasuk nikmat iman, islam, kesihatan, kesejahteraan dan keamanan telah kita rasakan pada tahun lalu, berdoalah agar Allah peliharakan masih anugerahkan segala nikmatNya pada kita untuk tahun yang akan datang dan tahun-tahun seterusnya.

Tanggal 15 November 2012 bersamaan 1 Muharam 1434 Hijrah, yakni malam ini dengan izinNya kita akan menyambut Maal Hijrah. Oleh itu, di sini saya ingin kongsikan doa akhir tahun dan awal tahun yang sering kita baca setiap kali menjelang tahun baru muharam... Doa akhir tahun dibaca pada penghujung waktu asar manakala doa awal tahun dibaca setelah masuk waktu maghrib. Namun suka ingin saya ingatkan pada teman-teman, bahawa doa boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja. Doalah yang menjadi kekuatan kita, yang menjadi penghubung antara kita dan Pencipta. Ada yang berpendapat bahawa membaca doa awal dan akhir tahun ini adalah salah satu daripada perkara bidaah kerana tidak dilakukan pada zaman nabi. Perkara yang bidaah banyak kategorinya, mungkin dapat diulaskan suatu hari nanti namun dalam hal ini, ianya bergantung bagaimana cara pemikiran dan tahap kefahaman kita. Isu bidaah timbul apabila terlalu percaya dan yakin bahawasanya apabila membaca doa ini segala dosa yang dilakukan sepanjang tahun lalu diampunkan dan tidak akan diganggu sepanjang tahun akan datang sedangkan doa ini sekadar usaha kita dan segalanya terletak pada ketentuan ALLAH. Saya berpendapat bahawa selagi mana kita membaca doa yang membawa kepada kebaikan dan menepati syara’, tidak mengapa untuk meminta pada yang sepatutnya kita pinta. Mohon padanya agar dosa-dosa yang lalu diampunkan..mohon agar kita tetap dipimpinNya pada masa akan datang.








Akhir sekali teman-teman, SALAM MAAL HIJRAH 1434 Hijrah !
Ayuh tranformasi diri menuju Rabbani..=)




Mohd Syakirin Bin Md Zahar
Timbalan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM)
Pengerusi Majlis Dakwah dan Kebajikan GAMIS

PMIUPM :PENCETUS INSPIRASI
GAMIS :GAMIS MEMPIMPIN PERUBAHAN

Saturday, 10 November 2012

Ia belum berakhir-Dedikasi Khas I-FEST (hari terakhir)


Tanggal 4 november 2012 merupakan hari terakhir bagi program I- fest di bumi UPM. Program terakhir adalah konsert inspirasi yang dihadiri golongan insan- insan terpilih seperti Imam Muda Nazrul bersama zaujahnya, Yatt Hamzah bersama keluarga (anak,suami dan sahabat), Syam Kamikaze dan Ustaz Mawi (alumni UPM ) bersama anak- anak qasidah beliau. Masing- masing mempersembahkan yang terbaik, menyampaikan hiburan yang berlandaskan konsep hiburan yang sebenar dalam islam dan menyelitkan ajaran agama islam mengikut kreativiti yang ada pada diri. Persembahan lain yang juga banyak memberi inspirasi pada anak muda khususnya mahasiswa mahasiswi UPM ialah persembahan adik-adik qasidah dan Teater Hassan Al- Banna. Kedua –dua persembahan ini membawa kita mengenang dan mengingati perjuangan kekasih Allah yakni Rasulullah s.a.w. dan as- syahid Hassan Al Banna dalam menegakkan agama islam.

Walaupun hari terakhir, banyak perkongsian dan ilmu yang diperolehi yang saya kira penting bagi diri ini menyampaikan apa yang diketahui agar ilmu itu berkembang biak. Dari Abu Musa r.a katanya, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Perumpamaan petunjuk dan ilmu pengetahuan yang Allah mengutuskan aku untuk menyampaikannya seperti hujan lebat jatuh ke bumi. Bumi itu ada yang subur menghisap air, menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan rumput-rumput yang banyak. Ada pula yang keras, tidak menghisap air sehingga tergenang. Maka Allah memberi manfaat dengan ia kepada manusia. Mereka dapat minum dan memberi minum (binatang ternak dan sebagainya), dan untuk bercucuk tanam. Dan ada pula hujan yang jatuh ke bahagian lain iaitu di atas tanah yang tidak menggenangkan air dan tidak pula menumbuhkan rumput. Begitulah perumpamaan orang yang belajar agama yang mahu memanfaatkan apa yang aku disuruh Allah menyampaikannya, dipelajarinya dan diajarkannya. Dan begitu pula perumpamaan orang yang tidak mahu memikirkan dan mengambil peduli dengan petunjuk Allah yang aku diutus untuk menyampaikannya.” (Bukhari)

Perkongsian yang paling menarik adalah bilamana novelis- novelis islamik tanah air seperti Ustazah Fatimah Syarha, Ustaz Syed Alwi dan Hilal Asyraf  menghuraikan dan berkongsi pengalaman masing- masing dalam Forum Cinta : Aku, Kau dan Dia. Semasa ni jugalah saya menjadi moderator hingga digelar ‘ahli panel’ keempat oleh teman-teman saya. Tajuknya sahaja sudah mampu menarik ramai siswa dan siswi kampus untuk menyertai forum tersebut apatah lagi dengan kehadiran ahli panel yang cukup arif dan terkenal dalam kepakaran mengulas tentang cinta. Antara persoalan- persoalan yang telah terjawab adalah definisi cinta yang sebenar, konsep nikah khitbah, soal pemilihan pasangan dan cara mengubat hati apabila putus cinta atau pinangan ditolak.

Definisi cinta berbeza-beza mengikut fahaman masing-masing dan sebaik-baik definisi adalah yang berlandaskan al-Quran dan Sunnah, berpaksikan cinta Allah dan Rasulullah bukan berlandaskan akal fikiran dan berpaksikan nafsu. Ustazah Fatimah mengatakan bahawa cinta itu fitrah, fitrah akan jadi jernih bila ada fikrah yang jelas, fitrah kalau tidak dijaga boleh bertukar menjadi fitnah dan fitrah boleh jadi barakah dengan didikan al- Quran dan sunnah. Cinta boleh dipuji mahupun dicela mengikut cara kita menguruskan cinta. Disebabkan cinta Allah yang dicari, kita diizinkan untuk cinta kepada alat (ibu bapa, suami, anak- anak sahabat-sahabat dsb).

Ustaz Syed Alwi menjelaskan pula tentang konsep nikah khitbah yang sedikit berbeza dengan konsep nikah biasa. Nikah khitbah boleh didefinisikan sebagai satu ikatan perkahwinan yang sah tetapi isteri masih di bawah tanggungan kedua ibu bapa sehingga keduanya bersedia untuk tinggal bersama. Terkadang ibu bapa tidak berapa yakin dengan kebolehan anak- anak dalam menguruskan rumah tangga di usia muda dan sekaligus tidak mengizinkan anak –anak mereka berkahwin walaupun dengan ikatan nikah khitbah. Apa yang difikirkan oleh kedua orang tua kadang ada betulnya, terutamanya bagi yang masih dalam dunia kampus. Ustaz Syed Alwi menjawab persoalan ini dengan menyatakan hanya satu yang akan meyakinkan kedua ibu bapa, iaitu perancangan yang rapi diiringi dengan usaha dalam mencapai apa yang dirancangkan. Bukan itu sahaja, ustaz juga ada mengatakan apabila cinta ditolak ataupun putus cinta, ucapkanlah ALHAMDULILLAH kerana kegagalan itu adalah pilihan dari Allah buat hambaNya. Dia lebih mengetahui apa yang paling layak buat ciptaanNya. Mencintai pilihan Allah jauh lebih baik. Kekecewaan yang melampaui batasan dapat dielakkan jika kita mengamalkan sikap bersederhana dalam mencintai dan membenci.

Ahli panel yang terakhir iaitu Saudara Hilal Asyraf pula berkongsi pengalamannya dalam membuat pemilihan pasangan hidupnya. Dia hanya meletakkan tiga syarat ringkas yang perlu ada pada seorang wanita yang ingin dijadikan ibu kepada anak-anaknya. Syarat- syarat tersebut ialah memiliki perasaan ingin hidup dalam agama, ada rasa ingin memperbaiki diri dan mempunyai sifat malu yang tinggi. Nasihatnya dalam membuat pilihan; “ janganlah kamu meletakkan ciri-ciri yang akan menyusahkan diri sendiri dan orang lain”. Paksi ketaqwaan yang ada pada seseorang membantunya dalam membuat pilihan pasangan yang terbaik sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;

"Dinikahi wanita itu kerana empat perkara, kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah dalam hal keagamaannya. Nescaya beruntunglah kedua-dua tanganmu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah s.a.w. mendidik kita lebih mengutamakan agama dalam pemilihan kerana ianya tidak akan hilang ditelan zaman seperti ciri-ciri lain. Hartanya, keturunannya dan kecantikannya akan hilang bila-bila masa Allah kehendakinya dan kebahagiaan dalam rumah tangga dirasai apabila mempunyai pasangan yang berbahagia dengan cinta Allah dan Rasulullah. Kita semua mahukan kebahagiaan, tapi jangan pernah lupa, Allah juga mahu hambaNya merasai kebahagiaan sebagaimana firmanNya dalam surah Al- Baqarah petikan dari ayat 185 yang bermaksud;

“......(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran....”

Forum berakhir dengan penuh pengertian apabila ahli panel membuat satu kesimpulan yang sarat dengan persoalan; membuatkan sidang hadirin berfikir dan muhasabah diri kembali. Inginkan pasangan yang terbaik tapi bagaimana dengan diri??sudah cukupkah zikir dan amalan-amalan yang lain?? Apakah jenis bacaan dan hiburan kita??? Tanyakan pada hati, bisikkan pada diri, layakkah ku untuk dicintai dan mencintai andai diri tidak mencintai yang selayaknya untuk dicintai yakni Allah dan Rasul....renungkan firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda Yang kamu usahakan, dan perniagaan Yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal Yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara Yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)”. (al-Taubah: 24) 

Hari diteruskan dengan aktiviti dan pertandingan yang menarik seperti sukan rakyat bagi muslimat, berkayak anjuran smart sport, futsal muslimin dan pertandingan memasak yang diadakan di sekitar kolej serumpun. Semua pemenang bagi setiap pertandingan memperolehi hadiah masing- masing pada malamnya setelah selesai konsert inspirasi. Ia berakhir tepat jam 11.35 malam. Festival berakhir bukan bermakna perjuangan kita berakhir. program sekadar satu cara untuk menyampaikan dakwah, selesai program, perjuangan tetap diteruskan sehingga kita menghembuskan nafas terakhir.

Untuk teman-teman penggerak I-FEST, tahniah dan syabas atas komitmen anda semua..!...




Mohd Syakirin bin Md Zahar
Timbalan Presiden,
Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM)

PMUPM : PENCETUS INSPIRASI


Thursday, 8 November 2012

Kasih sayang Rasulullah s.a.w- Coretan ringkas


Bismillahirrahmanirrahim...

Ayuh mulakan hari yang penuh barakah ini dengan selawat dan salam ke atas junjungan mulia kekasih Allah, Rasulullah s.a.w..Tika dan saat ini, terdetik di hati ingin berkongsi dengan sahabat- sahabat dan sekadar peringatan buat diri ini juga yang senantiasa lupa akan kasih Allah S.W.T  dan kasih Rasulullah s.a.w.

Akhlak Rasulullah adalah akhlak Quranul karim. Jika ingin dikupas segala akhlak mulia Baginda s.a.w mungkin tidak akan pernah cukup ruang yang sedikit ini, dengan ini cukuplah kiranya saya kongsikan tentang sifat kasih sayang Rasulullah s.a.w terhadap sahabat- sahabat Baginda. Rasulullah s.a.w membahagikan kasih sayangnya dengan adil kepada para sahabat, tidak ada yang terlebih dan tidak ada yang terkurang. Layanan dan pujian diberikan secara sama rata kepada para sahabat. Oleh sebab itulah, tidak ada di kalangan para sahabat yang mempunyai perasaan dengki antara satu sama lain apabila Rasulullah memuji salah seorang dari mereka kerana mereka tahu mereka juga dikasihi Baginda.



Cuba kita tanyakan pada diri kita, apakah selama hidup kita, selama persahabatan yang kita jalinkan, pernahkah ada di kalangan sahabat kita yang termakan hati dengan kata- kata kita, terguris dek perbuatan kasar kita, merajuk kerana sifat tak endah kita, menyimpan dengki pada kita disebabkan layanan kita pada sahabat- sahabat tidak sama??? Pernahkah kita cari penyelesaian untuk mengembalikan rasa kasih dan sayang sesame kita??

Kita memang tidak akan mampu menjadi seadil Rasulullah dalam bersahabat, tapi kita harus mencuba untuk memperbaikinya kerana mencuba lebih baik dari tidak melakukan apa-apa.  Kadang- kadang cukup sekadar bertanyakan khabar mereka, dahulukan salam apabila bertemu di mana-mana dan hadiahkanlah buat mereka satu senyuman yang paling manis agar mereka tahu kita sentiasa ingat dan menghargai mereka senagai seorang sahabat.
 
Saya teringat tentang kisah Rasulullah yang pernah diceritakan oleh seorang ustaz, Rasulullah sangat kasih dan sayang pada para sahabat sehinggakan Baginda tahu akan ketiadaan seorang sahabat, yang tidak terlihat oleh Baginda dua atau tiga hari dan Baginda akan terus bertanya pada sahabat yang lain kemanakah perginya sahabat Baginda tersebut. Di sini dapat dilihat betapa Rasulullah teliti dalam mengenal setiap para sahabat yang begitu ramai.

Bukan itu sahaja, pernah satu ketika, ada seorang sahabat yang duduk di sebelah Rasululah, dalam keadaan yang terhimpit- himpit, sahabat tadi terhimpit peha Rasulullah, Baginda s.a.w tidak berganjak dari tempat duduknya dan hanya membiarkannya begitu sahaja. Rasulullah bimbang sahabatnya akan menganggap yang Rasulullah tidak sudi untuk duduk di sebelahnya... betapa Rasulullah pandai menjaga hati para sahabat. Adakah kita akan cuba untuk mencontohi Rasulullah dalam bersahabat??? Jom ajukan soalan itu pada diri kita sendiri..

Akhir kata, ingin juga saya kongsikan kata- kata Imam Syafie yang cukup memberi 1001 pengertian bagi insan yang benar-benar menghargai dan memahami erti sebuah persahabatan.. renungkan ia buat seketika :

Aku menyayangi sahabatku dengan segenap jiwaku. Sahabat yang baik adalah yang seiring denganku dan menjaga nama baikku ketika aku hidup atau selepas mati. Kuhulurkan tangan kepada sahabatku untuk berkenalan kerana aku akan berasa senang. Semakin ramai sahabat, aku semakin percaya diri. Aku selalu berharap mendapat sahabat sejati yang tidak luntur dalam suka dan duka. Jika aku dapat, aku akan setia padanya."



Hidupkan suburkan hati untuk mencintai Allah dan Rasul, lebarkan sayap kasih dan sayang untuk sesama makhluk di muka bumi, bentangkan tangan doakan seluruh alam , lembutkan lidah sampaikan salam, didik diri kenali sahabat dunia akhirat... dimanakah sahabat sekarang???sihatkah mereka???bagaimana kehidupan seharian (makan,minum,tidur) mereka??? Keluarga mereka???pernahkah kita mengambil berat tentang sahabat- sahabat??? Soal diri sendiri, hanya diri yang menyoal akan tahu jawapannya.

Salam Sayyidul Ayyam !..=)


Mohd Syakirin bin Md Zahar
Timbalan Presiden, Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM)/
Penegerusi Majlis Dakwah Kebajikan GAMIS..~


PMIUPM : PENCETUS INSPIRASI
GAMIS : GAMIS MEMPIMPIN PERUBAHAN

Thursday, 25 October 2012

MAHASISWA, PENGORBANAN DAN TUNTUTAN DAKWAH


        Menyoroti kisah nabi Ibrahim yang diperintahkan oleh ALLAH untuk menyembelih anaknya nabi Ismail a.s, pasti kita tidak akan lari dari membicarakan satu aspek penting dalam kisah agung ini iaitu aspek PENGORBANAN.

Renungkan dialog antara nabi Ibrahim dan juga nabi Ismail: "Hai anakku, sesungguhnya Aku melihat dalam mimpi bahwa Aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!", Ia menjawab: "Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar".

Dialog di atas menunjukkan kisah seorang nabi ALLAH yang juga seorang bapa yang beriman sanggup MENGORBANKAN anaknya yang tercinta semata-semata menuruti perintah ALLAH yang wajib. Manakala, di peringkat anaknya, Ismail a.s juga sanggup diKORBANKAN semata-mata menuruti perintah ALLAH. Namun, atas dasar ketakwaan yang tinggi, anak beranak ini bersegera melaksanakan perintah ALLAH tanpa rasa ragu atau penuh dengan soal jawab. Kisah Ismail adalah kisah pemuda yang beriman yang diuji dengan ujian yang cukup berat iaitu disembelih oleh tangan ayahnya sendiri. Namun apa yang menakjubkan, Ismail a.s langsung tidak menunjukkan perasaan gentar saat menerima berita ini malah menyokong penuh ayahnya melaksanakan perintah wajib dari ALLAH.



Aspek PENGORBANAN dari kisah di atas sangat sesuai dan perlu untuk diaplikasikan dalam jiwa mahasiswa Islam terutamanya dalam menjalankan gerak kerja dakwah Islam kepada orang ramai dan dari satu sudut, yang paling utama adalah menggerakkan dakwah di kampus mereka. Menyoroti lumrah seseorang yang bergelar mahasiswa, mereka pasti mengidamkan satu kejayaan di akhir pengajiannya. Setiap kejayaan pasti diiringi dengan pengorbanan. Pengorbanan seorang mahasiswa meliputi pengorbanan masa, fizikal, harta benda dan kasih sayang. Masa yang diberikan untuk bergelar seorang mahasiswa amat terhad sekurang- kurangnya tiga hingga lima tahun. Mahasiswa yang benar- benar memahami tanggungjawabnya sebagai seorang mahasiswa mempunyai kebijaksanaan dalam pengurusan masa di sepanjang kehidupannya bergelar seorang mahasiswa. Bijak membahagikan masanya dalam menunaikan tuntutan dunia dan tuntutan agama terutamanya dalam tuntutan dakwah.Maka, disini timbul persoalan mengenai tuntutan dakwah. Apakah yang dimaksudkan dengan dakwah? Dari segi bahasa, dakwah bererti menyeru,memanggil sama ada kepada yang hak atau yang batil. Dalam istilah syarak ia membawa perngertian yang lebih khusus, iaitu menyeru atau memanggil ke jalan Allah.

Firman Allah yang bermaksud:
"Katakanlah, inilah jalan (Deenku), aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) ke jalan Allah dengan hujjah yang nyata." (Surah Yusuf, 108)

Orang-orang beriman, mereka tidak akan meninggalkan tugas dakwah, kerana tugas ini tidak sepatutnya terpisah dari sifat mereka. Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

" Siapakah yang lebih baik perkataanya daripada orang yang menyeru ke jalan Allah, mengerjakan amal soleh dan berkata: Sesungguhnya aku termasuk dalam orang-orang yang menyerah diri (muslimin)." (Surah Fussilat: 33)


Dari aspek lain, kesihatan mental dan fizikal perlulah senantiasa dijaga agar anggota tubuh badan yang telah dianugerahi Allah sentiasa dalam keadaan sihat sejahtera kerana masalah kesihatan akan menjejaskan proses menuntut ilmu. Boleh dikatakan, seharusnya dakwah dan mahasiswa Islam  adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan, ibarat irama dan lagu, aur dengan tebing dan isi dengan kuku. Ianya menjadi pelengkap antara satu sama lain. Seorang mahasiswa perlu mengetahui dan memahami hakikat bahawasanya mereka perlu  menyebarkan dakwah Islam kerana mereka adalah pewaris bagi negara. Mereka merupakan tunggak negara yang bakal mengganti tampuk pimpinan pemerintahan nanti. Mahasiswa seharusnya menyematkan jiwa nurani mereka dengan niat menuntut ilmu bagi membantu agama Allah, merasakan bertanggungjawab untuk mengajak sahabat –sahabat untuk berubah, bersedia untuk keluar berjuang dan yang paling utama mementingkan gerak kerja islam melebihi segalanya.Ini tidak dapat tidak menuntut PENGORBANAN yang bukan sedikit dari mereka yang bergelar mahasiswa.

Dari aspek yang lain, soal berdikari dalam menuntut ilmu dan berjauhan dari keluarga boleh dikatakan satu lumrah untuk mereka yang bergelar mahsiswa apatah lagi jika jarak antara mereka dengan keluarga mereka dipisahkan dengan jarak ribuan batu. Mereka meninggalkan keluarga tercinta untuk menuntut ilmu yang juga merupakan salah satu dari seruan Allah S.W.T. Ini tidak dapat tidak menuntut PENGORBANAN. Apatah lagi buat mereka yang pertama kali berjauhan dari keluarga tercinta. Namun, jika difikirkan kembali pengorbanan kita tidaklah sehebat pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail. Hayati kisahnya yang telah diceritakan Allah kepada kita dalam surah As- saffat ayat 102 hingga 110.

Kisah ini membuktikan bahawasanya cinta Allah dapat mengatasi segala cinta yang ada di dunia yang hanya tempat persinggahan. Kerana cinta mereka kepada Allah melebihi segalanya, Nabi Ibrahim melepaskan segala cinta dan kasih pada anaknya kerana taat dengan perintah Allah S.W.T manakala anaknya Nabi Ismail mengizinkan ayahnya untuk melaksanakan tuntutan Allah jua kerana ketaatannya kepada ayahnya dan Penciptanya. Perbualan Nabi Ibrahim dan anaknya ini diceritakan di dalam surah As- saffat ayat 102: 

“Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Hai anakku Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” ia menjawab: “Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar”. (as-Shaaffaat : 102)



Melalui kisah teladan yang telah Allah ceritakan, kita dapat simpulkan bahawa mahasiswa yang benar- benar memahami ajaran agama islam yang sebenar akan meletakkan cintanya pada Allah pada tempat yang tertinggi. Mereka tidak akan membenarkan akademik dan gelaran mahasiswa menyekat mereka dari menjalankan dakwah di bumi kampus yang dijejaki.

Salam aidiladha teman-teman sekalian..!..=)

Mohd Syakirin bin Md Zahar,
Timbalan Presiden,
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM)

PMIUPM : PENCETUS INSPIRASI

Wednesday, 26 September 2012

TERPILIH atau DIPILIH??

Bismillah walhamdulillah..
Alhamdulillah, keputusan Pilihanraya Kampus UPM bagi sesi kali ini telah diumumkan. Kebanyakkan calon yang menang terutamanya di kerusi umum merupakan sahabat-sahabat saya yang cukup saya kenal. Antaranya, Ummu Habibah, Nor Fatehah, Tajul Asyraf, Ahmad meseiry, Noremelia, Ahmad Bukhari, Mohd Sufiyan, Hazwan dan juga sahabat-sahabat. Selepas dengan penuh bersungguh berkempen dan membentangkan manifesto bagi meyakinkan mahasiswa UPM bahawa mereka layak menjadi wakil dan pemimpin mahasiwa UPM, kini tibalah masa mereka untuk menunaikan tanggungjawab mereka semua dengan sebaiknya. Diakui, bahawa tugas ini bukanlah tugas mudah dan amanah yang dipikul adalah berat, namun saya percaya pada ketentuan takdir bahawa ALLAH telah memilih mereka dengan satu tugasan yang selayaknya untuk mereka semua. Jika dinilai pada prestasi lepas dan juga pencapaian calon-calon ini dalam bidang kepimpinan persatuan pelajar, tidak dinafikan bahawa sememangnya tugas ini kene dan tepat pada batang tubuh mereka. Namun prestasi lepas yang cemerlang hanya akan tinggal kenangan jika amanah mereka sebagai ahli Majlis Perwakilan Pelajar sesi ini tidak dapat dilaksanakan sebaiknya. Mahu atau tidak mahu mereka harus memahami peranan dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin. Di sini, saya titipkan sedikit perkongsian sebagai satu renungan untuk kita bersama.

Terpilih atau dipilih?..tajuk kandungan yang menarik dalam sebuah majalah Islam. Berkisarkan mengenai peranan dan tanggungjawab seorang pemimpin

Pemimpin mesti mengisi keperluan jiwa rakyat. Hal ini kerana jiwa merupakan raja dalam diri yang menentukan buruk dan baik sikap seseorang.Oleh sebab itu, jiwa tidak boleh di abaikan. Tetapi oleh sebab sifatnya yang abstrak (maknawi), maka keperluannya juga bersifat abstrak. Jadi, keperluan jiwa ialah iman dan taqwa. Antara isi awal kandungan tajuk "Terpilih atau dipilih"..

Dalam hal ini, hanya pemimpin yang mempunyai "mata hati" sahaja dapat melihat adanya keperluan ini dan cara untuk memenuhinya. Jika jasad perlukan makan minum, akal perlukan ilmu, maka hati atau jiwa pula memerlukan iman(keyakinan). Keyakinan (belief) sangat penting dalam hidup kerana dengan sikap itu dapat memberi arah tuju bagi segala aktiviti manusia. Keyakinan juga yang menentukan sistem nilai, paradigma ataupun pandangan alam (world view) seterusnya sikap serta kelakuan seseorang. Tegasnya, ilmu yang tinggi sahaja tidak akan membawa ke mana-mana tanpa keyakinan yang mantap. Jadi, keyakinan yang bertapak di hati ini perlu dibangunkan oleh seorang pemimpin. Oleh sebab itu, pemimpin perlu berusaha memantapkan soal keyakinan dan sistem nilai dalam jiwa rakyat.

Bagi memantapkan soal yang berkaitan dengan keyakinan ini, para pemimpin mestilah terlebih dahulu memiliki keyakinan tersebut dan seterusnya berjaya menterjemahkan keyakinan itu menerusi sikap dan perlakuan. Hanya keyakinan yang dapat membentuk keyakinan. Dan keyakinan yang mantap mesti melahirkan tindakan. Tindakan inilah yang akan membentuk sikap dan sikap inilah yang kemudiannya membentuk role model.Sehubungan itu, cara mendidik yang berkesan adalah dengan mempamerkan teladan yang baik. Seorang pemimpin yang mempunyai keperibadian yang baik secara tidak langsung telah mempunyai kemahiran yang paling tinggi dalam mendidik pengikutnya. Hal ini kerana rakyat lebih mempercayai mata (apa yang mereka lihat) berbanding telinga mereka (apa yang mereka dengar). Rakyat akan mudah mengikut cakap pemimpin jika apa yang dibuat oleh pemimpin selaras dengan apa yang mereka cakapkan.

Walau bagaimanapun, keperluan rohani terhadap iman dan taqwa sangat sukar diisi oleh para pemimpin sedangkan iman dan taqwa merupakan keperluan yang paling utama dibandingkan dengan keperluan lain. Oleh sebab memandang remeh akan keperluan inilah, maka kita kini sedang berdepan dengan pelbagai masalah. Atas sebab itulah, pada hari ini kita dapati ramai remaja yang terjerumus ke lembah kejahatan walaupun telah mendapat hidup dan ilmu yang tinggi. Sebagai pemimpin, mereka harus menyedari bahawa tanggungjawab mereka bukan sahaja memberi kemudahan dan keselesaan hidup di dunia, tetapi juga keselamatan dan kebahagiaan di akhirat.

Jadi, sesiapa yang beria-ia hendak menjadi pemimpin, sewajarnya mereka bermuhasabah sejenak...Apakah sudah ada kemampuan untuk mengisi keperluan jiwa diri dan orang yang dipimpin. Jika mereka benar-benar "pemimpin terpilih" (selected leader) bukan sekadar "pemimpin dipilih" (elected leader), insyaALLAH mereka akan mampu menyedari hakikat ini!...

Note: Renung-renungkan wahai para pemimpin..=)



Beramah Mesra