Wednesday, 26 September 2012

TERPILIH atau DIPILIH??

Bismillah walhamdulillah..
Alhamdulillah, keputusan Pilihanraya Kampus UPM bagi sesi kali ini telah diumumkan. Kebanyakkan calon yang menang terutamanya di kerusi umum merupakan sahabat-sahabat saya yang cukup saya kenal. Antaranya, Ummu Habibah, Nor Fatehah, Tajul Asyraf, Ahmad meseiry, Noremelia, Ahmad Bukhari, Mohd Sufiyan, Hazwan dan juga sahabat-sahabat. Selepas dengan penuh bersungguh berkempen dan membentangkan manifesto bagi meyakinkan mahasiswa UPM bahawa mereka layak menjadi wakil dan pemimpin mahasiwa UPM, kini tibalah masa mereka untuk menunaikan tanggungjawab mereka semua dengan sebaiknya. Diakui, bahawa tugas ini bukanlah tugas mudah dan amanah yang dipikul adalah berat, namun saya percaya pada ketentuan takdir bahawa ALLAH telah memilih mereka dengan satu tugasan yang selayaknya untuk mereka semua. Jika dinilai pada prestasi lepas dan juga pencapaian calon-calon ini dalam bidang kepimpinan persatuan pelajar, tidak dinafikan bahawa sememangnya tugas ini kene dan tepat pada batang tubuh mereka. Namun prestasi lepas yang cemerlang hanya akan tinggal kenangan jika amanah mereka sebagai ahli Majlis Perwakilan Pelajar sesi ini tidak dapat dilaksanakan sebaiknya. Mahu atau tidak mahu mereka harus memahami peranan dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin. Di sini, saya titipkan sedikit perkongsian sebagai satu renungan untuk kita bersama.

Terpilih atau dipilih?..tajuk kandungan yang menarik dalam sebuah majalah Islam. Berkisarkan mengenai peranan dan tanggungjawab seorang pemimpin

Pemimpin mesti mengisi keperluan jiwa rakyat. Hal ini kerana jiwa merupakan raja dalam diri yang menentukan buruk dan baik sikap seseorang.Oleh sebab itu, jiwa tidak boleh di abaikan. Tetapi oleh sebab sifatnya yang abstrak (maknawi), maka keperluannya juga bersifat abstrak. Jadi, keperluan jiwa ialah iman dan taqwa. Antara isi awal kandungan tajuk "Terpilih atau dipilih"..

Dalam hal ini, hanya pemimpin yang mempunyai "mata hati" sahaja dapat melihat adanya keperluan ini dan cara untuk memenuhinya. Jika jasad perlukan makan minum, akal perlukan ilmu, maka hati atau jiwa pula memerlukan iman(keyakinan). Keyakinan (belief) sangat penting dalam hidup kerana dengan sikap itu dapat memberi arah tuju bagi segala aktiviti manusia. Keyakinan juga yang menentukan sistem nilai, paradigma ataupun pandangan alam (world view) seterusnya sikap serta kelakuan seseorang. Tegasnya, ilmu yang tinggi sahaja tidak akan membawa ke mana-mana tanpa keyakinan yang mantap. Jadi, keyakinan yang bertapak di hati ini perlu dibangunkan oleh seorang pemimpin. Oleh sebab itu, pemimpin perlu berusaha memantapkan soal keyakinan dan sistem nilai dalam jiwa rakyat.

Bagi memantapkan soal yang berkaitan dengan keyakinan ini, para pemimpin mestilah terlebih dahulu memiliki keyakinan tersebut dan seterusnya berjaya menterjemahkan keyakinan itu menerusi sikap dan perlakuan. Hanya keyakinan yang dapat membentuk keyakinan. Dan keyakinan yang mantap mesti melahirkan tindakan. Tindakan inilah yang akan membentuk sikap dan sikap inilah yang kemudiannya membentuk role model.Sehubungan itu, cara mendidik yang berkesan adalah dengan mempamerkan teladan yang baik. Seorang pemimpin yang mempunyai keperibadian yang baik secara tidak langsung telah mempunyai kemahiran yang paling tinggi dalam mendidik pengikutnya. Hal ini kerana rakyat lebih mempercayai mata (apa yang mereka lihat) berbanding telinga mereka (apa yang mereka dengar). Rakyat akan mudah mengikut cakap pemimpin jika apa yang dibuat oleh pemimpin selaras dengan apa yang mereka cakapkan.

Walau bagaimanapun, keperluan rohani terhadap iman dan taqwa sangat sukar diisi oleh para pemimpin sedangkan iman dan taqwa merupakan keperluan yang paling utama dibandingkan dengan keperluan lain. Oleh sebab memandang remeh akan keperluan inilah, maka kita kini sedang berdepan dengan pelbagai masalah. Atas sebab itulah, pada hari ini kita dapati ramai remaja yang terjerumus ke lembah kejahatan walaupun telah mendapat hidup dan ilmu yang tinggi. Sebagai pemimpin, mereka harus menyedari bahawa tanggungjawab mereka bukan sahaja memberi kemudahan dan keselesaan hidup di dunia, tetapi juga keselamatan dan kebahagiaan di akhirat.

Jadi, sesiapa yang beria-ia hendak menjadi pemimpin, sewajarnya mereka bermuhasabah sejenak...Apakah sudah ada kemampuan untuk mengisi keperluan jiwa diri dan orang yang dipimpin. Jika mereka benar-benar "pemimpin terpilih" (selected leader) bukan sekadar "pemimpin dipilih" (elected leader), insyaALLAH mereka akan mampu menyedari hakikat ini!...

Note: Renung-renungkan wahai para pemimpin..=)



No comments:

Post a Comment

Beramah Mesra