Thursday 31 January 2013

Keruntuhan Akhlak anak-anak..dan Anak - Suatu coretan


Saya mengimbas semula berita beberapa bulan lepas..yang menyebabkan saya beristighfar panjang…dan tulisan ini hanyalah sekadar perkongsian dan juga peringatan untuk diri saya yang lemah ini dan juga diri teman-teman yang lain..Saya merasa rugi jika tidak dikongsikan coretan ini bersama teman-teman..~moga bermanafaat untuk kita semua
___________________________________________________________________________

Beraninya dia!!!
Betul ke nie???
Boleh percaya ke budak kecik ni buat perkara tak senonoh tu??
Muka budak ni bersih je, comel, kecik lagi, tak percayalah….
Ini adalah sebahagian daripada respons sahabat-sahabat apabila membaca berita tentang remaja yang berusia 13 tahun yang mencuba untuk merogol seorang wanita  dalam tandas wanita di stesen minyak Shell Jalan Munshi Abdullah. Beritanya tersebar luas di laman-laman sosial dan masih lagi tidak diketahui akan kebenarannya…

Saya tidak ingin berceloteh panjang tentang cerita yang disebarkan itu, sahabat-sahabat dan para pembaca boleh membacanya sendiri di facebook, twitter dan blog… bukanlah kebiasaan bagi diri ini untuk mengulangi cerita yang belum tentu benar, lebih baik diam daripada mengeluarkan kata-kata yang tidak berfaedah dan sia-sia. Tetapi dengan rendah hati, saya ingin berkongsi dan menekankan beberapa perkara penting yang terlintas di fikiran saya tatkala terbaca berita tersebut.

Kerisauan timbul di benak fikiran saya, bagaimanakah nasib generasi yang akan datang??? Bagaimana didikan yang sebaiknya buat mereka??? Diri ini ingin menjadi seorang pendidik yang menyampaikan ilmu dunia dan akhirat, apakah yang harus diri ini sampaikan pada mereka, mereka tunggak agama dan negara, mereka jua yang akan menjadi penyambung perjuangan Rasulullah s.a.w..
Apabila timbul isu sebegini, masing- masing mencari kesalahan sama ada pada mangsa mahupun pesalah. Realitinya, kesalahan tidak harus diletakkan kepada sesiapa kerana kita tidak perlu fokus pada kesalahan tetapi perlu kembali kepada persoalan apakah yang menyebabkan ia berlaku dan bagaimana cara untuk mengatasinya agar sejarah tidak berulang buat kali kedua.



Keruntuhan akhlak, gejala sosial, jenayah dan keganasan semakin parah menyerang masyarakat kita seiringan dengan kemajuan negara terutamanya apabila negara sedang meningkatkan ilmu sains dan teknologi. Perkembangan ini seterusnya akan menyebabkan masyarakat melalui kemelut sosial dan kekeliruan hidup terutamanya bagi golongan kanak-kanak dan remaja. Antara masalah sosial yang dikenalpasti membabitkan golongan remaja hari ini ialah seperti seks bebas yang bermula daripada pergaulan bebas, lari dari rumah, penagihan dadah dan meminum minuman keras, lepak, lumba haram dan penglibatan remaja dalam jenayah seperti mencuri, merompak, merogol dan membunuh.  Keadaan ini amatlah menyedihkan apabila terkenangkan bakal pemimpin adalah salah seorang dari mereka.
Antara faktor-faktor yang menyumbang kepada keruntuhan akhlak anak-anak ialah:

         1)  Sistem pendidikan sekular yang bersifat memisahkan agama dengan kehidupan manusia

-          Anak-anak mungkin cemerlang akademiknya tetapi ilmunya tentang islam amatlah sedikit kerana kurangnya didikan agama di sekolah.

         2)  Pengaruh rakan sebaya
-          Pemilihan rakan sebaya yang berfikiran negatif dan juga tidak berakhlak

          3) Pengaruh media massa
-          Media massa yang tiada tapisan dari pihak atasan
-          Terlalu terbuka dan mendedahkan segala yang tidak patut dididedahkan
-          Tayangan-tayangan yang tidak bermoral
-          Senang untuk diporelehi, maklumat di hujung jari

       4) Peranan dan tanggungjawab bersama tidak diterapkan di dalam masyarakat
-          Mengamalkan konsep jaga tepi kain sendiri
-          Mengambil tidak endah dengan anak-anak muda
-          Kurangnya program berfaedah yang dianjurkan khusus untuk para remaja

Keempat-empat faktor di atas adalah sekadar faktor sampingan kepada keruntuhan akhlak yang berlaku. Jadi apakah faktor utamanya??? Saya kira kita semua tahu bahawasanya setiap permulaan didikan kita ialah keluarga..terutamanya didikan dari kedua ibu bapa kita kerana didikan itulah yang mencorakkan akhlak dan keperibadian kita sehingga kita menjadi siapa diri kita sekarang. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci, maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi."

(Riwayat Bukhari).



Hadith ini menunjukkan batapa ibu bapa mempunyai peranan yang sangat penting dalam mendidik , membentuk jiwa dan rohani  anak. Seandainya ibu bapa itu inginkan anak yang berguna dan mampu berkorban pada agama, bangsa dan negara, maka didikan yang sempurna harus diberikan kepada anak-anaknya. Didikan yang sempurna mampu mencorakkan akhlak mulia pada anak-anak. Kegagalan dalam institusi kekeluargaan akan membuatkan anak-anak tidak mampu untuk membentuk jiwa yang membangun dan hilang keyakinan untuk mendidik diri menjadi insan yang cemerlang dunia akhirat.    


Tidak layak rasanya diri ini untuk menghuraikan panjang tentang peranan dan tanggungjawab ibu bapa, bagaimana cara terbaik untuk didik anak-anak kerana diri ini pun belum berumah tangga dan masih belum diuji dengan kehadiran anak-anak. Namun, hati ini tidak tenang andai sedikit ilmu dari sedikit pembacaan diriku ini tidak dikongsi kepada sahabat-sahabat. Apa yang saya ingin kongsikan kali ini ialah bagaimana untuk mendidik diri kita sebagai persediaan untuk mendidik anak-anak apabila tiba masanya untuk Allah anugerahkan permata-permataNya kepada kita.

Masa yang ada mungkin berbeza bagi setiap individu, selagi kita punyai masa, ayuh gunakan masa kita dengan sebaiknya untuk mendidik diri kita dahulu dengan didikan yang berpandukan Al- Quran, sunnah dan mengikut acuan Rasulullah s.a.w agar kita mampu mendidik anak-anak dengan cara didikan yang sama. Antara didikan yang harus kita terapkan dalam diri kita pada waktu sekarang ini ialah:

     - Awasi setiap perbuatan yang dilakukan, kata-kata yang diucapkan dan niat pada setiap perjalanan kita. Pastikan ianya hanya untuk Pencipta kita bukan kerana manusia dan makhluk yang lain. Apabila diri dah berusaha untuk mengawasi diri, insyaAllah, Biiznillah, kita juga mampu untuk mengawasi setiap gerak geri anak-anak nanti, tidak ada alasan buat diri kita untuk mengambil berat tentang mereka.

     - Tingkatkan penghayatan kita terhadap perjuangan agama, nilai-nilai murni, dan motivasi agar kita yakin   dengan setiap apa yang kita lakukan seterusnya meyakini bahawa kita mampu jadi role model buat anak-anak kerana kita semua tahu, ibu bapa adalah role model yang paling rapat dengan anak-anak.

     - Yang paling penting adalah belajar untuk menyayangi semua orang, tidak mencari kesilapan tetapi mencari kelebihan yang mereka ada. Belajar untuk menyayangi makhluk-makhluk lain. Ini akan membantu kita untuk menyayangi anak-anak sebagaimana Rasulullah s.a.w. kasihkan kanak-kanak. Tidak pernah mencari kesilapan tetapi menerapkan kasih yang tiada batasan. 


      Antara kisah yang menunjukkan bagaimana Rasulullah mengajar para bapa umtuk menyayangi dan mengasihi anak-anak ialah sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, Abu Hurairah r.a menceritakan bahawa pada suatu hari Nabi saw telah mencium cucu baginda iaitu al-Hasan bin ‘Ali di hadapan khalayak para sahabat r.a. Lalu seorang sahabat yang bernama al-Aqra’ bin Haabis al-Tamimiy menceritakan kepada Nabi s.a.w bahawa beliau mempunyai sepuluh orang anak namun beliau langsung tidak pernah mencium seorang pun daripada anak-anaknya. Lalu Nabi saw memberi kata nasihat kepada beliau dengan bersabda :

 “Sesiapa yang tidak mengasihi (orang lain), maka dia tidak akan dikasihi”.



Begitulah indahnya akhlak Rasulullah s.a.w. sehingga terserlah dalam setiap didikan baginda. Bersediakah kita untuk mendidik generasi akan datang??? Tepuk dada Tanya iman yang ada...
Didikan untuk anak-anak pada zaman ini perlu diiringi dengan sifat kasih, sayang dan tutur kata yang mampu meresap ke dalam hati anak-anak. Ianya harus dilakukan seikhlas hati dan kata-kata yang kita tuturkan jua harus dari hati agar sampai ke hati mereka. Kasih sayang yang dibina di dalam keluarga menzahirkan kasih sayang yang diajar dalam islam seterusnya mengembangkan bunga-bunga di taman hati anak-anak, dan akan sentiasa segar di segenap anggota tubuh badannya.
Subhanallah... jika ingin dihuraikan nikmat dan rahmat yang Allah berikan, tinta ini tidak akan berakhir sampai bila-bila... rahmat kasih sayang adalah salah satu daripada nikmat yang besar buat makhluk bernama manusia/ insan.. kecil pada pandangan mata tetapi ianya tiada nilai bandingan pada pandangan hati.. sungguh benar katamu Ya Rasulullah...

“Allah swt menciptakan kasih sayang itu sebanyak seratus bahagian. Dia memegang 99 bahagian daripadanya dan menurunkan satu bahagian sahaja ke dunia. Dengan satu bahagian inilah setiap makhluk berkasih sayang, sehinggakan seekor kuda akan mengangkat kaki takut-takut mencederakan anaknya”.
(Hadith riwayat Imam al-Bukhari).



Cukuplah sekadar ini coretan saya... sama-samalah kita muhasabah diri...tarbiyyah diri untuk mentarbiyyah yang lain...
__________________________________________________________________________

p/s renungkan lirik lagu ini..impian semua ibu bapa adalah untuk mendapatkan anak-anak soleh yang menjadi penyejuk mata, penawar hati..mudah-mudahan…~

Sifat anak yang soleh
Mentaati ibu ayah
Tidak membantah
Malah mentaatinya

Halus peribadinya
Mencontohi Rasulullah
Tingkah lakunya dijaga
Akhlak dipelihara
Segala amalan dijaga
Hanya kerana yang Esa

Hormat pada yang tua
Kasih pada yang muda
Sayang pada ibu ayah
Dan juga keluarga
Hidupnya rajin berusaha
Tidak pernah berputus asa
Di dalam kehidupan penuh pancaroba

Tiada cinta di hatinya
Hanyalah cinta Allah
Ada rasa rindu
Hanyalah untuk Rasulullah
Kasih dan sayang
Hanyalah pada ibu ayah
Hormat menghormati sesama insan berbudi
Guru dan teman-teman
Sentiasa dikasihi
Itulah di antara sifat anak-anak yang soleh



Mohd Syakirin bin Md Zahar
Pengerusi Majlis Dakwah dan Kebajikan GAMIS
Timbalan Presiden Persatuan Mahasiswa IslamUPM (PMIUPM)


Wednesday 30 January 2013

INTERNSHIP- Suatu coretan ringkas


Pertama kali mendaftar sebagai internship di tempat kerja, pelbagai perasaan bermain di benak fikiran.. Gemuruh, teruja, cemas diterjemahkan menerusi eksperesi riak wajah di wajah saya. Minggu pertama berjalan dengan baik. Minggu kedua sudah outstation untuk mengambil data dan sekarang (saat jari ini mengetuk papan kekunci) minggu praktikal saya sudah memasuki minggu ketiga…~

_____________________________________________________________________________

Praktikal sekadar memenuhi syarat bergraduat?



Bila difikirkan secara rasional, ya…tidak dinafikan praktikal yang dilalui ini secara asasnya adalah untuk memenuhi kehendak bergraduat yang ditetapkan oleh universiti. Namun, bagi saya, adalah satu kerugian bila kita hanya meletakkan dalam fikiran kita mindset sedemikian rupa. Berbalik kepada niat kita…~
Sabda baginda yang bermaksud :

Dari Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin Al Khottob radiallahuanhu, dia berkata: Saya mendengar Rasulullah saw bersabda : Sesungguhnya setiap  perbuatan tergantung niatnya.  Dan  sesungguhnya  setiap  orang  (akan dibalas)berdasarkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya karena (ingin mendapatkan keridhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada (keridhaan) Allah dan Rasul-Nya. Dan siapa yang hijrahnya karena dunia yang dikehendakinya atau karena wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya (akan bernilai sebagaimana) yang dia niatkan”.

Ya! Setiap apa yang kita niatkan itu, itulah yang kita akan dapat..jika kita berniat sekadar menghabiskan praktikal semata untuk memenuhi syarat bergaraduat maka, tindakan yang diterjemahkan melalui apa yang kita niatkan hanay akan berpusat  pada memenuhi syarat bergraduat semata. Rugi bukan?
Sedangkan banyak manfaat yang kita mampu perolehi jika kita membuka skop pemikiran minda kita secara lebih meluas. Praktikal ini juga satu ibadah sebenarnya dengan syarat kita ikhlas melakukannya kerana ALLAH. Ini adalah kerana :


1.
Niat merupakan syarat layak/diterima atau tidaknya amal perbuatan, dan amal ibadah tidak akan mendatangkan pahala kecuali berdasarkan niat (kerana Allah ta’ala).
2. Waktu pelaksanaan niat dilakukan pada awal ibadah dan tempatnya di hati.
3. Ikhlas dan membebaskan niat semata-mata karena Allah ta’ala dituntut pada semua amal soleh dan ibadah.
4. Seorang mu’min akan diberi ganjaran pahala berdasarkan kadar niatnya.
5. Semua perbuatan yang bermanfaat dan mubah (boleh) jika diiringi niat karena mencari keridhoan Allah maka dia akan bernilai ibadah.


                                         
Selain ianya satu ibadah, pelbagai perkara positif lain seperti pengalaman, hard skill, soft skill selayaknya dikutip oleh mereka yang berpraktikal. Belajar sesuatu bende yang baru bagi menambahkan ilmu ALLAH yang luas ini di dalam diri kita. Bukankah kita ini penuntut  ilmu hinggalah saat kita akan bertemu DIA?...=)
Bagi saya setiap perlakuan kita lakukan, yang pertama kita perlu niatkan kerana ALLAH..~rasa ubudiah kita pada ALLAH kerana DIAlah bos no 1 kita…Bila kita dapat merasa perasaan sedemikian, secara tidak langsung ianya akan melahirkan rasa bertanggungjawab pada kerja kita dan ianya akan diekspresikan melalui perbuatan bersungguh (itqan)  pada sesuatu kerja.
Sedikit perkongsian dari seorang pakar motivasi mengenai 4 M yang menyebabkan kita tidak akan bahagia disebabkan kerja kita bagi mengakhiri coretan ringkas ini.=)

- Mengeluh
- Menyesal
- Merungut dan
- Mengumpat

keempat M ini merupakan perkara negatif yang bila diamalkan terutama ketika bekerja akan melahirkan sisi negatif dalam diri kita yang menyebabkan kita rasa malas untuk bekerja, buat acuh tak acuh, kurang bersemangat dan sewaktu dengannya. Sedangkan diri kita ini perlu sentiasa berfikiran postif kerana ianya akan melahirkan sikap dan perbuatan yang postif dalam diri kita dan diakhirnya ianya melahirkan diri kita yang cemerlang bukan sahaja di dunia malah di akhirat InsyaALLAH..=)
Bukankah ALLAH itu bersama sangkaan hambaNYA?..=)..

Renung-renungkan dan fikir-fikirkan teman !…=)

Sunday 30 December 2012

TAHUN BARU, UMUR BERTAMBAH, TARIKH KEMATIAN MENGHAMPIRI


[Sambutan Tahun Baru 2013]

(ORKED) Operasi Dakwah Dirasai 2013
Berkumpul di Masjid Jamek pada 
31 hb Januari 2012 | 9am-12.00am
Tema : "JOm ke Syurga"
Tema Pakaian : Putih.
Tempat: Dataran Merdeka
Anjuran : Majlis Dakwah Kebajikan GAMIS




Menyedari sambutan tahun baru yang dibuat oleh pelbagai pihak setiap tahun, maka di peringkat MDK GAMIS berinisiatif untuk menjalankan program seumpama ini dalam usaha mengajak masyarakat ke arah kebaikan. Sebelum program malam ini bermula, saya tergerak untuk mencoretkan sesuatu mengenai tahun baru yang bakal menjelang tidak sampai 24 jam lagi ini...

_______________________________________________________________________


Pejam celik, pejam celik, dah nak masuk tahun baru, diri terasa baru je daftar kat UPM semalam.... tanpa disedari, masa berlalu pergi meninggalkan kita... tanpa ucapan selamat tinggal dan kita tahu ianya tidak akan pernah kembali walau kita tangisi dengan air mata darah sekalipun...esok dah masuk 31/12/12, tepat jam 12 mlm esok, semua akan sambut tahun baru... seluruh dunia tidak akan terlepas untuk mengadakan sambutan tahun baru termasuklah negara kita yang kita cintai niee...
Soalan boleh atau tidak untuk sambut tahun baru masihi mungkin dah terjawab, mungkin juga ada yang lupa akan jawapannya... di sini suka untuk saya kongsikan apa yang pernah saya baca, kita boleh menyambut tahun baru masihi malah menjadi tuntutan buat kita memperingati kehadiran tahun baru supaya kita lebih menghargai masa yang berbaki sebelum kematian menjemput.

Allah S. W. T berfirman di dalam surah Al-Asr yang bermaksud:
"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; kecuali orang yang beriman dan beramal soleh serta mereka juga berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran."
(Al ‘Asr: 1-3).
Surah yang pendek ini memberi seribu erti buat kita semua sebenarnya...Nikmat masa yang diberikan akan menentukan kedudukan kita, sama ada tergolong dalam golongan yang rugi atau tergolong dalam golongan yang beruntung. Ianya jelas menunjukkan bahawa pentingnya pengurusan masa dalam kehidupan kita, setiap masa yang kita ada ini perlu diisi dengan pengisian yang terbaik agar kita tidak menyesal di kemudian hari...
Setiap sesuatu yang Allah ciptakan pasti ada pasangannya dan ianya saling melengkapi. Begitu juga dengan tahun baru hijri dan tahun baru masihi, ada satu hubungan yang menarik berlaku di antara keduanya jika dikaji dengan lebih mendalam. Perkiraan tahun hijri berdasarkan peredaran bulan (tarikh al-Qamari) yang menentukan masa ibadah buat kita umat islam contohnya puasa, haji dan sebagainya. Manakala perkiraan tahun masihi dikira berdasarkan peredaran matahari (tarikh as- Syamsi) yang membolehkan manusia menentukan musim panas, sejuk, menuai, atau menyemai dan segala aktiviti yang lain.




Tarikh as- Syamsi ini mempunyai kepentingan yang tersendiri, kepentingan ini terserlah dan dibuktikan menerusi kalam Allah dalam surah Yusuf ayat 46-49. Ayat ini menceritakan tentang tafsiran Nabi Yusuf terhadap mimpi raja mesir pada masa itu.

"(Setelah dia berjumpa dengan Yusuf, berkatalah ia): `Yusuf, Wahai orang yang benar (pada segala-galanya)! Tafsirkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat) tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering; (tafsirkanlah) supaya aku kembali kepada orang yang mengutusku, moga mereka dapat mengetahui tafsirannya'.
Yusuf menjawab: `Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan di tangkainya; kecuali sedikit untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit), kecuali sedikit dari (benih gandum) yang kamu simpan. Kemudian setelah itu akan datang tahun yang padanya manusia diberi hujan(dengan cukup) dan pada masa itu mereka memeras (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)."

 Ayat ini menjelaskan bahawa tarikh as- Syamsi membantu manusia mengenal pasti perubahan cuaca untuk memudahkan aktiviti pertanian dan menyusun atur aktiviti- aktiviti manusia yang lain.
Sekarang kita sudah tahu yang sambutannya boleh dilaksanakan tetapi bagaimana pula cara yang sebaiknya untuk menyambut tahun baru masihi ni??? Ha, saya rasa anda semua sudah punyai jawapan dalam benak fikiran masing- masing... sambutannya haruslah mengikut syariat islam dan menepati niat yang sebenar iaitu kita menyambutnya untuk mengingati kepentingan masa bukan untuk bersuka ria, berpesta sehinggakan lupa akan agama dan akhirat.

Insan yang benar- benar beriman akan menangis bila tahun baru menjengah kerana apabila tahun baru menjelang, umurnya makin meningkat, tarikh kematian semakin pendek dan semakn menghampiri sedangkan diri belum bersedia untuk menghadapinya. Kita juga diingatkan bahawa sambutan tahun baru ini sebenarnya tidak ada dalam agama islam tetapi sambutan buat agama kristian yang menyambut kelahiran Nabi Isa a.s. kita hanya sekadar dibolehkan menyambutnya dan tidak sekali- sekali meniru atau menyerupai sambutan mereka.

Cara sambutannya mestilah tidak dicampur adukkan dengan hiburan- hiburan yang bertentangan dengan ajaran agama islam seperti nyanyian pemujaan wanita, kekasih, arak dan sebagainya. Selain itu, percampuran antara lelaki dan perempuan yang tidak terkawal juga perlu dielakkan dalam sambutan tersebut bagi mengelakkan berlakunya gejala-gejala yang lebih teruk berlaku. Pendek kata, setiap apa yang dirancang untuk sambutan wajib berlandaskan syariat islam dan tida melanggar syara’.

Walaubagaimana sekalipun sambutan tahun baru masihi kita di bumi Malaysia ini, sekali lagi saya ingin ingatkan pada diri dan sahabat- sahabat, jangan kita pernah lupa untuk mendoakan saudara- saudara kita di Syria sana. Moga mereka juga mampu menyambut tahun baru dalam ketenangan dan keamanan suatu hari nanti. Muhasabah diri bersama... cukuplah kematian sebagai nasihat buat diriku dan sahabat- sahabat.

Wallahualam...





Mohd Syakirin bin Md Zahar
Pengerusi Majlis Dakwah Kebajikan GAMIS
Timbalan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM)

Saturday 29 December 2012

Selamat "berexam" teman-teman : Satu perkongsian


Peperiksaan akhir menghampiri
Debarannya semakin dirasai
Semester terakhir diriku di sini
Namun diriku tetap penuntut ilmu sampai mati.

Pesan cikgu
Tersenyum saya seketika taktala membaca komik ringkasan "pesan cikgu" diatas..=)
memandangkan final exam untuk semester ini tinggal beberapa hari lagi...terdetik di hati saya untuk mencoretkan sesuatu mengenai 'exam" itu sendiri....

________________________________________________________________________

Assalamualaikum. W.b.t
Allah S.W.T berfirman di dalam surah Al- Alaq :



Maksudnya:
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya...”

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“ Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas setiap muslim.(Riwayat Ibn Majah)

Dan dalam hadith yang lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“ Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan untuk ke syurga. ( Riwayat Muslim)

Kalam Allah S.W.T dan hadith Rasulullah s.a.w ini sudah cukup kiranya kita jadikan penyebab bagi kewajipan untuk kita menuntut ilmu, tidak kira ilmu dunia mahupun akhirat.


Dalam konteks kita sebagai mahsiswa di bumi UPM khususnya, ilmu dunia yang kita tuntut mungkin diukur  dengan peperiksaan yang dijalankan, namun dalam kehidupan sebagai seorang hamba kepada Penciptanya, kepentigan ilmu duniawi dan ukhrawi bukanlah sekadar di atas kertas peperiksaan semata tetapi perlu diamalkan setiap yang dipelajari dalam kehidupan seharian. Andainya inilah yang kita lakukan, saya rasa tidak timbul kata- kata,
“ Alah, baca untuk exam je, dah habis exam nanti, terus lupa”
“ Sabarlah, kejap je nie, study dulu, habis exam kita enjoy la”
dan bermacam- macam lagi perkataan yang kadang- kadang kita sendiri tak perasan bila masa kita ucapkan. Wajib untuk kita mengetahui bahawa dalam setiap ilmu yang kita cari, kita tuntut, keberkatan yang harus mengirinya, tanpa keberkatan dalam ilmu yang dicari, ianya akan jadi sia-sia. Niat menuntut ilmu mesti diperbaharui dari semasa ke semasa agar kita tidak lari dari landasan yang betul. Niatkan dalam hati setiap apa yang kita baca, hafal dan amalkan tidak lain dan tidak bukan hanyalah kerana Allah S. W. T... itulah yang menjadikan menuntut ilmu itu satu ibadah.


Saat- saat terakhir menuju gerbang dunia peperiksaan, pelbagai perasaan menjengah di hati sanubari masing- masing. Ada yang rasa serabut, tak tahu nak study yang mana dulu, ada juga yang terlalu steady sampai dah boring, tidak ketinggalan yang terlalu busy dengan urusan lain  hinggakan tidak sempat menyentuh mana- mana subjek lagi....

Pengurusan masa dan teknik belajar di saat-saat genting ini amatlah penting, di sini saya ingin kongsikan sedikit sebanyak tips-tips menghadapi peperiksaan dan mengawal jiwa serta fikiran dalam masa yang terdekat ini. 
1)    Perbaiki niat tuntut ilmu kerana Allah
2)    Yakin pada janji Allah, kejayaan milik insan yang berusaha
3)    Yakin pada diri, percaya dengan setiap apa yang kamu lakukan
4)    Kekalkan imej kejayaan dalam minda, sentiasa positif/ optimis
5)    Bergaul seperti biasa dengan sahabat-sahabat yang juga berfikiran positif dan bersemangat untuk berjaya
6)  Sentiasa paksa diri untuk berjaya, memaksa untuk tinggalkan yang sia-sia, focus pada pelajaran dan benda-benda yang penting sahaja dalam masa yang terdekat.
7)  Kurangkan tekanan perasaan dengan mengingati Allah, berselawat ke atas Rasulullah dan melihat keindahan alam ciptaanNya.
8)     Tampalkan mutiara kata di meja belajar atau di mana-mana tempat yang sering kita pandang
9)   Buat latih tubi bagi soalan-soalan yang biasa keluar, simulasi past year question, buat latihan banyak-banyak dan ceritakan semula apa yang dibaca/dihafal ke dalam bentuk yang lebih senang difahami/diingati (peta minda/flash card).
10)  Tawakallah setelah berusaha bukan berserah sebelum buat apa-apa.

Diri ini bukanlah sesiapa
Hidup hanya sementara di dunia
Menumpang seketika mencari RedhaNya
Wajib untukku Menuntut ilmu kerana itu syaratnya ku ke Syurga

Wallahualam....     

Selamat "berexam" teman-teman !




Mohd Syakirin bin Md Zahar,
Pengerusi Majlis Dakwah Kebajikan GAMIS,
Timbalan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM)

Monday 24 December 2012

SYRIA: HILANGNYA NILAI KEMANUSIAAN, KEBANGKITAN BERMULA


Saat termenung seketika, saya tergerak untuk mencoretkan sesuatu mengenai apa yang sedang berlaku di Syria..mungkin nukilan saya ini sekadar pandangan kecil daripada berbilion m islam di atas muka bumi ini..namun, atas rasa kesedaran, saya tergerak untuk mencoretkan sesuatu tentang isu Syria yang dikatakan dalam keadaan pergolakan yang amat dahsyat~....

________________________________________________________________________


Manusia yang hilang sifat kemanusiaannya tidak akan pernah kenal erti kasih sayang. Nilai itu hilang pada pandangan mata dan hati mereka. Keganasan, kezaliman dan kekejaman yang mereka agungkan sehinggakan saudara-saudara kita di seluruh pelosok dunia termasuk Syria, Gaza dan Rohingya ditindas dan diseksa. Isu kemanusiaan yang berlaku di negara- negara ini masih belum ada kesudahannya.  

Isu kekejaman dan keganasan rejim Basyar Al Asad terhadap seluruh penduduk Syria menjadi isu pilihan untuk dikongsikan pada sahabat- sahabat kali ini. Ia juga sebagai peringatan untuk diri ini yang sering lupa untuk mendoakan saudara- saudara yang tertindas.



Syria menerima tekanan yang melampaui jangkauan pemikirin manusia biasa sejak puluhan tahun yang lalu bermula dengan pemerintahan keturunan Basyar Al Asad. Kini Basyar Al Asad menyambung generasi penindasan tersebut dan mewarisi sifat kekejaman daripada ayahnya. Kebangkitan seluruh rakyat Syria yang ingin menggulung pemerintahan kejamnya telah menyebabkan keadaan semakin tegang dan bertambah buruk. Serangan berdarah ini telah direkodkan sebagai isu kedua yang paling parah setelah isu Palestin, malah mungkin lebih parah berbanding isu Palestin. Pelbagai demonstrasi yang berlaku di Syria telah mengorbankan puluhan ribu orang awam dan pejuang-pejuang agama.



Melalui pembacaan sejarah serangan ke atas Syria, tercetusnya kebangkitan rakyat Syria disebabkan beberapa sebab utama iaitu penindasan rakyat lebih 40 tahun, kebangkitan rakyat di negara-negara Arab lain, dan kemuncaknya apabila sekumpulan lebih 20 orang kanak-kanak telah ditangkap dan diseksa sehinggakan ada yang syahid hanya kerana menconteng dinding sekolah dengan menulis “rakyat mahu jatuhkan kerajaan”. Apabila ahli keluarga kanak- kanak tersebut meminta mayat anaknya serta meminta kanak-kanak lain dilepaskan, syarat yang sangat hina telah dikenakan. Syaratnya ialah wanita-wanita di kalangan mereka haruslah diserahkan kepada kepada puak-puak kerajaan Syria ini. Di sinilah permulaan bagi kebangkitan rakyat di Syria.


Rejim Basyar Al Asad bertindak lebih kejam dengan melancarkan serangan berdarah kepada orang awam bagi melemahkan semangat kebangkitan rakyat Syria. Walaubagaimanapun, segala serangan yang dilakukan rejim Basyar Al Asad tidak mematahkan semangat rakyat untuk terus berjuang mempertahankan agama dan negara yang tercinta.


Bukan itu sahaja, seluruh masyarakat dunia turut serta dalam menyokong tindakan rakyat Syria dan bersama- sama menyatakan revolusi kebangkitan adalah jalan terbaik untuk melepaskan mereka dari tampuk pemerintahan kejam tersebut. Laporan media antarabangsa melaporkan bahawa lebih dari 40 ribu tentera Syria telah mengubah haluan perjuangan mereka dari menyokong Basyar Al-Asad. Mereka sebulat suara untuk bersama dalam revolusi tersebut.


Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, Syeikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi yang merupakan salah seorang dari ratusan ulama’ dunia yang terkemuka yang juga turut serta dalam sokongan revolusi tersebut telah membuat satu kenyataan yang menyeru seluruh rakyat untuk mendokong perjuangan rakyat Syria untuk bebas daripada regim Al-Asad, bergabung dengan tentera Syria yang berpaling tadah daripada rejim Al-Asad,serta menyeru negara-negara Arab dan Islam untuk bertindak dalam isu ini.


Insan lain telah menyahut seruan tersebut, KITA BAGAIMANA???
1)  Minggu ni study week, tak sempatla nak baca tentang isu- isu nie... benda lain banyak lagi tak baca nie.. 
2) Eh, bukan ke isu ni dah lama, tak pe sekarang ni dah banyak bantuan dah, kita tak payah susah- susah nak fikir, kita kan student..fokus2x
3)  Alamak, terlupa la plak nak doakan saudara- saudara, tak pe kot, sekarang tak sempat, zohor, asar ada lagi masa nak doakan mereka

Sedih dan pilunya hati di saat mendengar kata- kata ini yang keluar dari lantunan suara anak- anak muda terutamanya yang berada di dunia kampus. Sahabat- sahabat dan diriku yang lemah, bangkitlah dari lena yang tidak berkesudahan, celik mata dan hati, lakukan sesuatu bagi menyatakan kita bersama perjuangan mereka. Mereka saudara kita, bukan makhluk asing di alam ghaib. Di manakah sifat kemanusiaan kita??? Tidak terlalu kejam jika saya katakan sesiapa yang dalam hatinya tidak pernah ada rasa untuk melakukan sesuatu untuk rakyat Syria adalah sama seperti rejim tersebut. Ini kerana, tidak pernah berfikir bermakna kasih sayang sesama saudara tidak wujud dalam hati mereka, nilai keanusiaan juga akan mereka ketepikan. Sebab itulah mereka memilih jalan untuk tidak mempedulikan isu-isu seperti ini.


Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud;


"Orang beriman itu dengan orang beriman yang lain seperti jasad yang satu. Kiranya salah satu anggota mengalami kesakitan, maka seluruh anggota akan akan turut berjaga malam, merasa panas dan gusar." [HR Bukhari & Muslim]


Dan Allah juga berfirman, dalam surah Al-Hujurrat ayat 10 yang bermaksud:


"Sebenarnya orang-orang mukmin itu bersaudara..."


Ayat al Quran dan hadith ini jelas mengatakan bahawa kita sebenarnya tidak punya alasan untuk mengenepikan isu Syria. Saudara kita di sana adalah salah satu anggota yang ada pada jasad kita, kalau sakit salah satu darinya, seluruh tubah merasai kesakitannya, kalau hilang salah satu daripadanya, seluruh tubuh akan merasai kesengsaraannya.


Untuk pergi ke Syria dan membantu saudara-saudara kita di sana mungkin satu perkara yang mustahil untuk kita lakukan. Namun, kita mampu untuk lakukan sesuatu walau pun kita di sini, walaupun juga kita tidak berkonfrontasi secara terus dengan regime Syria. Mungkin perkara dibawah boleh menjadi panduan untuk kita supaya kita berusaha juga untuk membantu saudara-saudara kita di sana. Sekecil- kecil usaha yang kita ada adalah doa, mohon pada Allah, percepatkan kemenangan ke atas mereka di pengakhiran solat kita sehari semalam...




Mohd Syakirin bin Md Zahar
Timbalan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM)
Pengerusi Majlis Dakwah Kebajikan GAMIS

Beramah Mesra