Thursday 31 January 2013

Keruntuhan Akhlak anak-anak..dan Anak - Suatu coretan


Saya mengimbas semula berita beberapa bulan lepas..yang menyebabkan saya beristighfar panjang…dan tulisan ini hanyalah sekadar perkongsian dan juga peringatan untuk diri saya yang lemah ini dan juga diri teman-teman yang lain..Saya merasa rugi jika tidak dikongsikan coretan ini bersama teman-teman..~moga bermanafaat untuk kita semua
___________________________________________________________________________

Beraninya dia!!!
Betul ke nie???
Boleh percaya ke budak kecik ni buat perkara tak senonoh tu??
Muka budak ni bersih je, comel, kecik lagi, tak percayalah….
Ini adalah sebahagian daripada respons sahabat-sahabat apabila membaca berita tentang remaja yang berusia 13 tahun yang mencuba untuk merogol seorang wanita  dalam tandas wanita di stesen minyak Shell Jalan Munshi Abdullah. Beritanya tersebar luas di laman-laman sosial dan masih lagi tidak diketahui akan kebenarannya…

Saya tidak ingin berceloteh panjang tentang cerita yang disebarkan itu, sahabat-sahabat dan para pembaca boleh membacanya sendiri di facebook, twitter dan blog… bukanlah kebiasaan bagi diri ini untuk mengulangi cerita yang belum tentu benar, lebih baik diam daripada mengeluarkan kata-kata yang tidak berfaedah dan sia-sia. Tetapi dengan rendah hati, saya ingin berkongsi dan menekankan beberapa perkara penting yang terlintas di fikiran saya tatkala terbaca berita tersebut.

Kerisauan timbul di benak fikiran saya, bagaimanakah nasib generasi yang akan datang??? Bagaimana didikan yang sebaiknya buat mereka??? Diri ini ingin menjadi seorang pendidik yang menyampaikan ilmu dunia dan akhirat, apakah yang harus diri ini sampaikan pada mereka, mereka tunggak agama dan negara, mereka jua yang akan menjadi penyambung perjuangan Rasulullah s.a.w..
Apabila timbul isu sebegini, masing- masing mencari kesalahan sama ada pada mangsa mahupun pesalah. Realitinya, kesalahan tidak harus diletakkan kepada sesiapa kerana kita tidak perlu fokus pada kesalahan tetapi perlu kembali kepada persoalan apakah yang menyebabkan ia berlaku dan bagaimana cara untuk mengatasinya agar sejarah tidak berulang buat kali kedua.



Keruntuhan akhlak, gejala sosial, jenayah dan keganasan semakin parah menyerang masyarakat kita seiringan dengan kemajuan negara terutamanya apabila negara sedang meningkatkan ilmu sains dan teknologi. Perkembangan ini seterusnya akan menyebabkan masyarakat melalui kemelut sosial dan kekeliruan hidup terutamanya bagi golongan kanak-kanak dan remaja. Antara masalah sosial yang dikenalpasti membabitkan golongan remaja hari ini ialah seperti seks bebas yang bermula daripada pergaulan bebas, lari dari rumah, penagihan dadah dan meminum minuman keras, lepak, lumba haram dan penglibatan remaja dalam jenayah seperti mencuri, merompak, merogol dan membunuh.  Keadaan ini amatlah menyedihkan apabila terkenangkan bakal pemimpin adalah salah seorang dari mereka.
Antara faktor-faktor yang menyumbang kepada keruntuhan akhlak anak-anak ialah:

         1)  Sistem pendidikan sekular yang bersifat memisahkan agama dengan kehidupan manusia

-          Anak-anak mungkin cemerlang akademiknya tetapi ilmunya tentang islam amatlah sedikit kerana kurangnya didikan agama di sekolah.

         2)  Pengaruh rakan sebaya
-          Pemilihan rakan sebaya yang berfikiran negatif dan juga tidak berakhlak

          3) Pengaruh media massa
-          Media massa yang tiada tapisan dari pihak atasan
-          Terlalu terbuka dan mendedahkan segala yang tidak patut dididedahkan
-          Tayangan-tayangan yang tidak bermoral
-          Senang untuk diporelehi, maklumat di hujung jari

       4) Peranan dan tanggungjawab bersama tidak diterapkan di dalam masyarakat
-          Mengamalkan konsep jaga tepi kain sendiri
-          Mengambil tidak endah dengan anak-anak muda
-          Kurangnya program berfaedah yang dianjurkan khusus untuk para remaja

Keempat-empat faktor di atas adalah sekadar faktor sampingan kepada keruntuhan akhlak yang berlaku. Jadi apakah faktor utamanya??? Saya kira kita semua tahu bahawasanya setiap permulaan didikan kita ialah keluarga..terutamanya didikan dari kedua ibu bapa kita kerana didikan itulah yang mencorakkan akhlak dan keperibadian kita sehingga kita menjadi siapa diri kita sekarang. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci, maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi."

(Riwayat Bukhari).



Hadith ini menunjukkan batapa ibu bapa mempunyai peranan yang sangat penting dalam mendidik , membentuk jiwa dan rohani  anak. Seandainya ibu bapa itu inginkan anak yang berguna dan mampu berkorban pada agama, bangsa dan negara, maka didikan yang sempurna harus diberikan kepada anak-anaknya. Didikan yang sempurna mampu mencorakkan akhlak mulia pada anak-anak. Kegagalan dalam institusi kekeluargaan akan membuatkan anak-anak tidak mampu untuk membentuk jiwa yang membangun dan hilang keyakinan untuk mendidik diri menjadi insan yang cemerlang dunia akhirat.    


Tidak layak rasanya diri ini untuk menghuraikan panjang tentang peranan dan tanggungjawab ibu bapa, bagaimana cara terbaik untuk didik anak-anak kerana diri ini pun belum berumah tangga dan masih belum diuji dengan kehadiran anak-anak. Namun, hati ini tidak tenang andai sedikit ilmu dari sedikit pembacaan diriku ini tidak dikongsi kepada sahabat-sahabat. Apa yang saya ingin kongsikan kali ini ialah bagaimana untuk mendidik diri kita sebagai persediaan untuk mendidik anak-anak apabila tiba masanya untuk Allah anugerahkan permata-permataNya kepada kita.

Masa yang ada mungkin berbeza bagi setiap individu, selagi kita punyai masa, ayuh gunakan masa kita dengan sebaiknya untuk mendidik diri kita dahulu dengan didikan yang berpandukan Al- Quran, sunnah dan mengikut acuan Rasulullah s.a.w agar kita mampu mendidik anak-anak dengan cara didikan yang sama. Antara didikan yang harus kita terapkan dalam diri kita pada waktu sekarang ini ialah:

     - Awasi setiap perbuatan yang dilakukan, kata-kata yang diucapkan dan niat pada setiap perjalanan kita. Pastikan ianya hanya untuk Pencipta kita bukan kerana manusia dan makhluk yang lain. Apabila diri dah berusaha untuk mengawasi diri, insyaAllah, Biiznillah, kita juga mampu untuk mengawasi setiap gerak geri anak-anak nanti, tidak ada alasan buat diri kita untuk mengambil berat tentang mereka.

     - Tingkatkan penghayatan kita terhadap perjuangan agama, nilai-nilai murni, dan motivasi agar kita yakin   dengan setiap apa yang kita lakukan seterusnya meyakini bahawa kita mampu jadi role model buat anak-anak kerana kita semua tahu, ibu bapa adalah role model yang paling rapat dengan anak-anak.

     - Yang paling penting adalah belajar untuk menyayangi semua orang, tidak mencari kesilapan tetapi mencari kelebihan yang mereka ada. Belajar untuk menyayangi makhluk-makhluk lain. Ini akan membantu kita untuk menyayangi anak-anak sebagaimana Rasulullah s.a.w. kasihkan kanak-kanak. Tidak pernah mencari kesilapan tetapi menerapkan kasih yang tiada batasan. 


      Antara kisah yang menunjukkan bagaimana Rasulullah mengajar para bapa umtuk menyayangi dan mengasihi anak-anak ialah sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, Abu Hurairah r.a menceritakan bahawa pada suatu hari Nabi saw telah mencium cucu baginda iaitu al-Hasan bin ‘Ali di hadapan khalayak para sahabat r.a. Lalu seorang sahabat yang bernama al-Aqra’ bin Haabis al-Tamimiy menceritakan kepada Nabi s.a.w bahawa beliau mempunyai sepuluh orang anak namun beliau langsung tidak pernah mencium seorang pun daripada anak-anaknya. Lalu Nabi saw memberi kata nasihat kepada beliau dengan bersabda :

 “Sesiapa yang tidak mengasihi (orang lain), maka dia tidak akan dikasihi”.



Begitulah indahnya akhlak Rasulullah s.a.w. sehingga terserlah dalam setiap didikan baginda. Bersediakah kita untuk mendidik generasi akan datang??? Tepuk dada Tanya iman yang ada...
Didikan untuk anak-anak pada zaman ini perlu diiringi dengan sifat kasih, sayang dan tutur kata yang mampu meresap ke dalam hati anak-anak. Ianya harus dilakukan seikhlas hati dan kata-kata yang kita tuturkan jua harus dari hati agar sampai ke hati mereka. Kasih sayang yang dibina di dalam keluarga menzahirkan kasih sayang yang diajar dalam islam seterusnya mengembangkan bunga-bunga di taman hati anak-anak, dan akan sentiasa segar di segenap anggota tubuh badannya.
Subhanallah... jika ingin dihuraikan nikmat dan rahmat yang Allah berikan, tinta ini tidak akan berakhir sampai bila-bila... rahmat kasih sayang adalah salah satu daripada nikmat yang besar buat makhluk bernama manusia/ insan.. kecil pada pandangan mata tetapi ianya tiada nilai bandingan pada pandangan hati.. sungguh benar katamu Ya Rasulullah...

“Allah swt menciptakan kasih sayang itu sebanyak seratus bahagian. Dia memegang 99 bahagian daripadanya dan menurunkan satu bahagian sahaja ke dunia. Dengan satu bahagian inilah setiap makhluk berkasih sayang, sehinggakan seekor kuda akan mengangkat kaki takut-takut mencederakan anaknya”.
(Hadith riwayat Imam al-Bukhari).



Cukuplah sekadar ini coretan saya... sama-samalah kita muhasabah diri...tarbiyyah diri untuk mentarbiyyah yang lain...
__________________________________________________________________________

p/s renungkan lirik lagu ini..impian semua ibu bapa adalah untuk mendapatkan anak-anak soleh yang menjadi penyejuk mata, penawar hati..mudah-mudahan…~

Sifat anak yang soleh
Mentaati ibu ayah
Tidak membantah
Malah mentaatinya

Halus peribadinya
Mencontohi Rasulullah
Tingkah lakunya dijaga
Akhlak dipelihara
Segala amalan dijaga
Hanya kerana yang Esa

Hormat pada yang tua
Kasih pada yang muda
Sayang pada ibu ayah
Dan juga keluarga
Hidupnya rajin berusaha
Tidak pernah berputus asa
Di dalam kehidupan penuh pancaroba

Tiada cinta di hatinya
Hanyalah cinta Allah
Ada rasa rindu
Hanyalah untuk Rasulullah
Kasih dan sayang
Hanyalah pada ibu ayah
Hormat menghormati sesama insan berbudi
Guru dan teman-teman
Sentiasa dikasihi
Itulah di antara sifat anak-anak yang soleh



Mohd Syakirin bin Md Zahar
Pengerusi Majlis Dakwah dan Kebajikan GAMIS
Timbalan Presiden Persatuan Mahasiswa IslamUPM (PMIUPM)


1 comment:

Beramah Mesra