“aku berazam sempena
tahun baru ni, aku nak jadi baik”
“aku nak pakai motor
besar”
“aku nak buktikan
bahawa aku boleh jadi anak yang soleh untuk ibu bapa aku”
“aku nak ke bulan”….
“aku nak menuju PUTRAJAYA”
Dan tidak terkecuali ;
“sempena tahun
baru hijrah ni,aku berazam nak kumpul duit banyak-banyak, nak KAHWIN”…
Seulas
senyuman terukir di garis bibir saya mengenangkan ulah sahabat-sahabat serta
teman-teman saya taktala diajukan soalan berkenaan azam tahun baru mereka.
Pelbagai jawapan, pelbagai keleteh yang kadang-kadang tidak masuk akal bila
difikirkan semula rasional azam mereka. Namun, bersikap optimis itu penting
bukan?..=)…
HIJRAH
Bila berbicara soal hijrah, perkara pertama yang
sering terlintas di fikiran kita semua adalah kisah penghijrahan nabi Muhammad
dan umat Islam ketika itu yang berhijrah dari kota Mekah ke kota Madinah. Nabi
keluar dari rumah baginda bersama Abu Bakar al-Siddiq menuju ke Gua Thur.
Mereka berada dalam gua tersebut selama tiga malam.Pada hari pertama Rabiulawal
baginda dan Abu Bakar keluar dari Gua Thur lalu memulakan hijrah ke Yathrib
yakni Madinah dipandu oleh Abdullah bin 'Uraiqit. Mereka tidak melalui jalan
biasa bagi tujuan keselamatan. Pada hari Isnin 8 Rabiulawal, nabi sampai di
Quba' dan mereka berada di sana selama empat hari serta mengasaskan Masjid Quba
yang al-Quran iktiraf sebagai masjid yang didirikan atas dasar taqwa.Pada 12
Rabiulawal, setelah solat Jumaat baginda memasuki Yathrib yang kemudian
dinamakan Madinah al-Munawarah.
Malah seingat saya, ketika kecil bila menjelangnya
tiba tahun baru hijrah dalam kalendar Islam, kita sering didendangkan dengan
lagu hijrah yang dimainkan oleh kumpulan Al-ajiba,sehinggakan setiap bait lagu
tersebut menjadi siulan anak-anak kecil ketika itu. Namun apakah yang
dimaksudkan dengan hijrah yang sebenar?
Hijrah berasal daripada kata kerja hajara (هجر) bermaksud meninggalkan, memutuskan atau
keluar dari sebuah negeri ke negeri yang lain.
Sebelum Fathu
Makkah, hijrah ke Madinah, tempat terlaksananya kedaulatan Islam,
diwajibkan ke atas seluruh Muslimin kecuali mereka yang mempunyai keuzuran
tertentu. Selepas Makkah berjaya dikembalikan ke tangan umat Islam, manusia
memasuki agama Allah berbondong-bondong dan mereka telah bebas melaksanakan
Islam serta mendirikan syiarnya di mana jua, maka tiada lagi keperluan untuk
berhijrah ke Madinah. Baginda telah bersabda (maksudnya):
“Tiada hijrah selepas al-Fath (Pembukaan
Makkah), tetapi jihad dan niat. Dan apabila kamu dikerah untuk pergi berjuang,
maka segeralah manyahutnya!”
Hijrah ini boleh dibahagikan kepada dua hijrah yakni hijrah
fizikal dan hijrah dengan hati kepada ALLAH dan Rasulnya.
Nabi s.a.w. bersabda, "Orang yang sempurna Islamnya ialah
orang yang kaum muslimin terselamat dari gangguan lisan dan tangannya dan orang
yang berhijrah sebenarnya ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh
Allah". (HR Bukhari no 6484)
Menyoroti kisah hijrah nabi Muhammad ke Madinah, tidak terhitung
hikmah besar yang terkandung dalam kisah agung ini. Malahan, ketika berhijrah
dari mekah ke Madinah terdapat satu aspek penting yang boleh dijadikan teladan
kepada kita semua dalam kita menghijrahkan diri kita kearah lebih baik iaitu
aspek PENGORBANAN. Bagaimana semangat serta pengorbanan nabi serta para sahabat
ketika itu yang sanggup meninggalkan tanah air tercinta semata-mata menyahut
seruan ALLAH bagi mengembangkan agama Islam patut dijadikan contoh serta
inspirasi kepada kita untuk berubah menjadi lebih baik. Untuk berjaya, perlukan
pengorbanan. Untuk menjadi pelajar cemerlang perlukan pengorbanan, untuk
menjadi anak yang soleh perlukan pengorbanan malah untuk menjadi seorang yang
kaya sekalipun perlukan kepada pengorbanan. Namun berapa ramai
antara kita yang benar-benar menjadikan kisah hijrah ini, semangat hijrah ini
satu azimat dalam kehidupan kita?malah berapa ramai yang benar-benar
mengimplimentasikan semangat hijrah dalam kehidupan seharian mereka?
Jika
ditanya pandangan saya mengenai hijrah, saya berpendapat hijrah ini membawa
maksud perubahan dari satu tahap ke satu tahap yang baik dan dari tahap yang
baik kepada tahap yang lebih baik. Seharusnya kita punya rasa dan azam untuk berubah dari
yang kurang baik kepada yang lebih baik, dari dunia kegelapan kepada dunia
kebenaran, jadikan tahun ini lebih baik dari tahun-tahun sebelum ini agar kita
tidak termasuk dalam golongan yang rugi dan celaka tetapi menjadi sebahagian
daripada hamba- hamba yang beruntung. Sebagaimana hadis Nabi s.a.w yang
diriwayatkan Bukhari dan Muslim, mafhumnya;
“Barangsiapa yang hari ini dia
lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yang beruntung.
Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang
rugi. Barangsiapa yang hari ini dia, lebih teruk dari semalam, maka dia di
kalangan orang yang celaka”
Dan suka saya hendak kongsikan bahawa azam atau
semangat tahun baru hijrah ini bukannya dibuat kerana ianya atas niat meraikan
tahun baru hijrah semata. Malah setiap hari, kita dianjurkan untuk bermuhasabah
diri kita supaya hari-hari yang kita lalui adalah lebih baik dari hari yang
telah berlalu. Tajdid niat kita dalam setiap amalan yang dibuat, moga-moga
setiap amalan kita dipandang sebagai satu ibadah di sisi ALLAH.
1 MUHARRAM 1434 HIJRAH
Hari ini bakal berakhirnya bulan zulhijjah, dan akan
bermulanya bulan muharam...tahun baru buat kita semua...bersyukur ke hadrat
illahi kerana masih diberi peluang untuk sekali lagi menyambut tahun baru
mengikut bulan islam. Segala nikmat yang diberikan termasuk nikmat iman, islam,
kesihatan, kesejahteraan dan keamanan telah kita rasakan pada tahun lalu,
berdoalah agar Allah peliharakan masih anugerahkan segala nikmatNya pada kita
untuk tahun yang akan datang dan tahun-tahun seterusnya.
Tanggal 15 November 2012 bersamaan 1 Muharam 1434
Hijrah, yakni malam ini dengan izinNya kita akan menyambut Maal Hijrah. Oleh
itu, di sini saya ingin kongsikan doa akhir tahun dan awal tahun yang sering
kita baca setiap kali menjelang tahun baru muharam... Doa akhir tahun dibaca
pada penghujung waktu asar manakala doa awal tahun dibaca setelah masuk waktu
maghrib. Namun suka ingin saya ingatkan pada teman-teman, bahawa doa boleh
dilakukan pada bila-bila masa sahaja. Doalah yang menjadi kekuatan kita, yang menjadi
penghubung antara kita dan Pencipta. Ada yang berpendapat bahawa membaca doa
awal dan akhir tahun ini adalah salah satu daripada perkara bidaah kerana tidak
dilakukan pada zaman nabi. Perkara yang bidaah banyak kategorinya, mungkin
dapat diulaskan suatu hari nanti namun dalam hal ini, ianya bergantung
bagaimana cara pemikiran dan tahap kefahaman kita. Isu bidaah timbul apabila
terlalu percaya dan yakin bahawasanya apabila membaca doa ini segala dosa yang
dilakukan sepanjang tahun lalu diampunkan dan tidak akan diganggu sepanjang
tahun akan datang sedangkan doa ini sekadar usaha kita dan segalanya terletak
pada ketentuan ALLAH. Saya berpendapat bahawa selagi mana kita membaca doa yang
membawa kepada kebaikan dan menepati syara’, tidak mengapa untuk meminta pada
yang sepatutnya kita pinta. Mohon padanya agar dosa-dosa yang lalu
diampunkan..mohon agar kita tetap dipimpinNya pada masa akan datang.
Akhir sekali teman-teman, SALAM MAAL HIJRAH 1434 Hijrah !
Ayuh tranformasi diri menuju
Rabbani..=)
Mohd Syakirin Bin Md Zahar
Timbalan Presiden Persatuan Mahasiswa
Islam UPM (PMIUPM)
Pengerusi Majlis Dakwah dan Kebajikan
GAMIS
PMIUPM :PENCETUS INSPIRASI
GAMIS :GAMIS MEMPIMPIN PERUBAHAN