Tanggal
4 november 2012 merupakan hari terakhir bagi program I- fest di bumi UPM.
Program terakhir adalah konsert inspirasi yang dihadiri golongan insan- insan
terpilih seperti Imam Muda Nazrul bersama zaujahnya, Yatt Hamzah bersama keluarga
(anak,suami dan sahabat), Syam Kamikaze dan Ustaz Mawi (alumni UPM ) bersama
anak- anak qasidah beliau. Masing- masing mempersembahkan yang terbaik,
menyampaikan hiburan yang berlandaskan konsep hiburan yang sebenar dalam islam
dan menyelitkan ajaran agama islam mengikut kreativiti yang ada pada diri.
Persembahan lain yang juga banyak memberi inspirasi pada anak muda khususnya
mahasiswa mahasiswi UPM ialah persembahan adik-adik qasidah dan Teater Hassan
Al- Banna. Kedua –dua persembahan ini membawa kita mengenang dan mengingati
perjuangan kekasih Allah yakni Rasulullah s.a.w. dan as- syahid Hassan Al Banna
dalam menegakkan agama islam.
Walaupun
hari terakhir, banyak perkongsian dan ilmu yang diperolehi yang saya kira
penting bagi diri ini menyampaikan apa yang diketahui agar ilmu itu berkembang
biak. Dari Abu Musa r.a katanya, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Perumpamaan petunjuk dan ilmu pengetahuan yang
Allah mengutuskan aku untuk menyampaikannya seperti hujan lebat jatuh ke bumi.
Bumi itu ada yang subur menghisap air, menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan
rumput-rumput yang banyak. Ada pula yang keras, tidak menghisap air sehingga
tergenang. Maka Allah memberi manfaat dengan ia kepada manusia. Mereka dapat
minum dan memberi minum (binatang ternak dan sebagainya), dan untuk bercucuk
tanam. Dan ada pula hujan yang jatuh ke bahagian lain iaitu di atas tanah yang
tidak menggenangkan air dan tidak pula menumbuhkan rumput. Begitulah
perumpamaan orang yang belajar agama yang mahu memanfaatkan apa yang aku disuruh
Allah menyampaikannya, dipelajarinya dan diajarkannya. Dan begitu pula
perumpamaan orang yang tidak mahu memikirkan dan mengambil peduli dengan
petunjuk Allah yang aku diutus untuk menyampaikannya.” (Bukhari)
Perkongsian yang paling menarik adalah bilamana
novelis- novelis islamik tanah air seperti Ustazah Fatimah Syarha, Ustaz Syed
Alwi dan Hilal Asyraf menghuraikan dan
berkongsi pengalaman masing- masing dalam Forum Cinta : Aku, Kau dan Dia. Semasa
ni jugalah saya menjadi moderator hingga digelar ‘ahli panel’ keempat oleh
teman-teman saya. Tajuknya sahaja sudah mampu menarik ramai siswa dan siswi
kampus untuk menyertai forum tersebut apatah lagi dengan kehadiran ahli panel
yang cukup arif dan terkenal dalam kepakaran mengulas tentang cinta. Antara
persoalan- persoalan yang telah terjawab adalah definisi cinta yang sebenar,
konsep nikah khitbah, soal pemilihan pasangan dan cara mengubat hati apabila
putus cinta atau pinangan ditolak.
Definisi cinta berbeza-beza mengikut fahaman
masing-masing dan sebaik-baik definisi adalah yang berlandaskan al-Quran dan
Sunnah, berpaksikan cinta Allah dan Rasulullah bukan berlandaskan akal fikiran
dan berpaksikan nafsu. Ustazah Fatimah mengatakan bahawa cinta itu fitrah,
fitrah akan jadi jernih bila ada fikrah yang jelas, fitrah kalau tidak dijaga
boleh bertukar menjadi fitnah dan fitrah boleh jadi barakah dengan didikan al-
Quran dan sunnah. Cinta boleh dipuji mahupun dicela mengikut cara kita
menguruskan cinta. Disebabkan cinta Allah yang dicari, kita diizinkan untuk
cinta kepada alat (ibu bapa, suami, anak- anak sahabat-sahabat dsb).
Ustaz Syed Alwi menjelaskan pula tentang konsep
nikah khitbah yang sedikit berbeza dengan konsep nikah biasa. Nikah khitbah
boleh didefinisikan sebagai satu ikatan perkahwinan yang sah tetapi isteri
masih di bawah tanggungan kedua ibu bapa sehingga keduanya bersedia untuk
tinggal bersama. Terkadang ibu bapa tidak berapa yakin dengan kebolehan anak-
anak dalam menguruskan rumah tangga di usia muda dan sekaligus tidak
mengizinkan anak –anak mereka berkahwin walaupun dengan ikatan nikah khitbah.
Apa yang difikirkan oleh kedua orang tua kadang ada betulnya, terutamanya bagi
yang masih dalam dunia kampus. Ustaz Syed Alwi menjawab persoalan ini dengan
menyatakan hanya satu yang akan meyakinkan kedua ibu bapa, iaitu perancangan
yang rapi diiringi dengan usaha dalam mencapai apa yang dirancangkan. Bukan itu sahaja, ustaz juga ada mengatakan apabila
cinta ditolak ataupun putus cinta, ucapkanlah ALHAMDULILLAH kerana kegagalan
itu adalah pilihan dari Allah buat hambaNya. Dia lebih mengetahui apa yang
paling layak buat ciptaanNya. Mencintai pilihan Allah jauh lebih baik.
Kekecewaan yang melampaui batasan dapat dielakkan jika kita mengamalkan sikap
bersederhana dalam mencintai dan membenci.
Ahli panel yang terakhir iaitu Saudara Hilal Asyraf
pula berkongsi pengalamannya dalam membuat pemilihan pasangan hidupnya. Dia
hanya meletakkan tiga syarat ringkas yang perlu ada pada seorang wanita yang
ingin dijadikan ibu kepada anak-anaknya. Syarat- syarat tersebut ialah memiliki
perasaan ingin hidup dalam agama, ada rasa ingin memperbaiki diri dan mempunyai
sifat malu yang tinggi. Nasihatnya dalam membuat pilihan; “ janganlah kamu
meletakkan ciri-ciri yang akan menyusahkan diri sendiri dan orang lain”. Paksi
ketaqwaan yang ada pada seseorang membantunya dalam membuat pilihan pasangan
yang terbaik sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;
"Dinikahi wanita itu kerana empat perkara,
kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah dalam
hal keagamaannya. Nescaya beruntunglah kedua-dua tanganmu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w.
mendidik kita lebih mengutamakan agama dalam pemilihan kerana ianya tidak akan
hilang ditelan zaman seperti ciri-ciri lain. Hartanya, keturunannya dan
kecantikannya akan hilang bila-bila masa Allah kehendakinya dan kebahagiaan
dalam rumah tangga dirasai apabila mempunyai pasangan yang berbahagia dengan
cinta Allah dan Rasulullah. Kita semua mahukan kebahagiaan, tapi jangan pernah
lupa, Allah juga mahu hambaNya merasai kebahagiaan sebagaimana firmanNya dalam
surah Al- Baqarah petikan dari ayat 185 yang bermaksud;
“......(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah
menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung
kesukaran....”
Forum berakhir dengan penuh pengertian apabila ahli
panel membuat satu kesimpulan yang sarat dengan persoalan; membuatkan sidang
hadirin berfikir dan muhasabah diri kembali. Inginkan pasangan yang terbaik
tapi bagaimana dengan diri??sudah cukupkah zikir dan amalan-amalan yang lain??
Apakah jenis bacaan dan hiburan kita??? Tanyakan pada hati, bisikkan pada diri,
layakkah ku untuk dicintai dan mencintai andai diri tidak mencintai yang
selayaknya untuk dicintai yakni Allah dan Rasul....renungkan firman Allah S.W.T
yang bermaksud:
“Katakanlah (Wahai Muhammad):
"Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan
isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda
Yang kamu usahakan, dan perniagaan Yang kamu bimbang akan merosot, dan
rumah-rumah tempat tinggal Yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi
perkara-perkara Yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan
(daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan
keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada
orang-orang yang fasik (derhaka)”. (al-Taubah: 24)
Hari diteruskan dengan aktiviti dan pertandingan
yang menarik seperti sukan rakyat bagi muslimat, berkayak anjuran smart sport,
futsal muslimin dan pertandingan memasak yang diadakan di sekitar kolej
serumpun. Semua pemenang bagi setiap pertandingan memperolehi hadiah masing-
masing pada malamnya setelah selesai konsert inspirasi. Ia berakhir tepat jam
11.35 malam. Festival berakhir bukan bermakna perjuangan kita berakhir. program
sekadar satu cara untuk menyampaikan dakwah, selesai program, perjuangan tetap
diteruskan sehingga kita menghembuskan nafas terakhir.
Untuk teman-teman penggerak I-FEST, tahniah dan syabas atas komitmen anda semua..!...
Mohd Syakirin bin Md Zahar
Timbalan Presiden,
Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM)
PMUPM : PENCETUS INSPIRASI
No comments:
Post a Comment