Wednesday, 14 November 2012

SALAM MAAL HIJRAH - Coretan ringkas



“aku berazam sempena tahun baru ni, aku nak jadi baik”

“aku nak pakai motor besar”

“aku nak buktikan bahawa aku boleh jadi anak yang soleh untuk ibu bapa aku”

“aku nak ke bulan”….
“aku nak menuju PUTRAJAYA”

 Dan tidak terkecuali ;

“sempena tahun baru hijrah ni,aku berazam nak kumpul duit banyak-banyak, nak KAHWIN”…

Seulas senyuman terukir di garis bibir saya mengenangkan ulah sahabat-sahabat serta teman-teman saya taktala diajukan soalan berkenaan azam tahun baru mereka. Pelbagai jawapan, pelbagai keleteh yang kadang-kadang tidak masuk akal bila difikirkan semula rasional azam mereka. Namun, bersikap optimis itu penting bukan?..=)…

HIJRAH




Bila berbicara soal hijrah, perkara pertama yang sering terlintas di fikiran kita semua adalah kisah penghijrahan nabi Muhammad dan umat Islam ketika itu yang berhijrah dari kota Mekah ke kota Madinah. Nabi keluar dari rumah baginda bersama Abu Bakar al-Siddiq menuju ke Gua Thur. Mereka berada dalam gua tersebut selama tiga malam.Pada hari pertama Rabiulawal baginda dan Abu Bakar keluar dari Gua Thur lalu memulakan hijrah ke Yathrib yakni Madinah dipandu oleh Abdullah bin 'Uraiqit. Mereka tidak melalui jalan biasa bagi tujuan keselamatan. Pada hari Isnin 8 Rabiulawal, nabi sampai di Quba' dan mereka berada di sana selama empat hari serta mengasaskan Masjid Quba yang al-Quran iktiraf sebagai masjid yang didirikan atas dasar taqwa.Pada 12 Rabiulawal, setelah solat Jumaat baginda memasuki Yathrib yang kemudian dinamakan Madinah al-Munawarah.
Malah seingat saya, ketika kecil bila menjelangnya tiba tahun baru hijrah dalam kalendar Islam, kita sering didendangkan dengan lagu hijrah yang dimainkan oleh kumpulan Al-ajiba,sehinggakan setiap bait lagu tersebut menjadi siulan anak-anak kecil ketika itu. Namun apakah yang dimaksudkan dengan hijrah yang sebenar?

Hijrah berasal daripada kata kerja hajara (هجر) bermaksud meninggalkan, memutuskan atau keluar dari sebuah negeri ke negeri yang lain.
Sebelum Fathu Makkah, hijrah ke Madinah, tempat terlaksananya kedaulatan Islam, diwajibkan ke atas seluruh Muslimin kecuali mereka yang mempunyai keuzuran tertentu. Selepas Makkah berjaya dikembalikan ke tangan umat Islam, manusia memasuki agama Allah berbondong-bondong dan mereka telah bebas melaksanakan Islam serta mendirikan syiarnya di mana jua, maka tiada lagi keperluan untuk berhijrah ke Madinah. Baginda telah bersabda (maksudnya):
“Tiada hijrah selepas al-Fath (Pembukaan Makkah), tetapi jihad dan niat. Dan apabila kamu dikerah untuk pergi berjuang, maka segeralah manyahutnya!”
Hijrah ini boleh dibahagikan kepada dua hijrah yakni hijrah fizikal dan hijrah dengan hati kepada ALLAH dan Rasulnya.
Nabi s.a.w. bersabda, "Orang yang sempurna Islamnya ialah orang yang kaum muslimin terselamat dari gangguan lisan dan tangannya dan orang yang berhijrah sebenarnya ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah". (HR Bukhari no 6484)

Menyoroti kisah hijrah nabi Muhammad ke Madinah, tidak terhitung hikmah besar yang terkandung dalam kisah agung ini. Malahan, ketika berhijrah dari mekah ke Madinah terdapat satu aspek penting yang boleh dijadikan teladan kepada kita semua dalam kita menghijrahkan diri kita kearah lebih baik iaitu aspek PENGORBANAN. Bagaimana semangat serta pengorbanan nabi serta para sahabat ketika itu yang sanggup meninggalkan tanah air tercinta semata-mata menyahut seruan ALLAH bagi mengembangkan agama Islam patut dijadikan contoh serta inspirasi kepada kita untuk berubah menjadi lebih baik. Untuk berjaya, perlukan pengorbanan. Untuk menjadi pelajar cemerlang perlukan pengorbanan, untuk menjadi anak yang soleh perlukan pengorbanan malah untuk menjadi seorang yang kaya sekalipun perlukan kepada pengorbanan.  Namun berapa ramai antara kita yang benar-benar menjadikan kisah hijrah ini, semangat hijrah ini satu azimat dalam kehidupan kita?malah berapa ramai yang benar-benar mengimplimentasikan semangat hijrah dalam kehidupan seharian mereka?

Jika ditanya pandangan saya mengenai hijrah, saya berpendapat hijrah ini membawa maksud perubahan dari satu tahap ke satu tahap yang baik dan dari tahap yang baik kepada tahap yang lebih baik. Seharusnya kita punya rasa dan azam untuk berubah dari yang kurang baik kepada yang lebih baik, dari dunia kegelapan kepada dunia kebenaran, jadikan tahun ini lebih baik dari tahun-tahun sebelum ini agar kita tidak termasuk dalam golongan yang rugi dan celaka tetapi menjadi sebahagian daripada hamba- hamba yang beruntung. Sebagaimana hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim, mafhumnya;

“Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yang beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia, lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka” 

Dan suka saya hendak kongsikan bahawa azam atau semangat tahun baru hijrah ini bukannya dibuat kerana ianya atas niat meraikan tahun baru hijrah semata. Malah setiap hari, kita dianjurkan untuk bermuhasabah diri kita supaya hari-hari yang kita lalui adalah lebih baik dari hari yang telah berlalu. Tajdid niat kita dalam setiap amalan yang dibuat, moga-moga setiap amalan kita dipandang sebagai satu ibadah di sisi ALLAH.

1 MUHARRAM 1434 HIJRAH

Hari ini bakal berakhirnya bulan zulhijjah, dan akan bermulanya bulan muharam...tahun baru buat kita semua...bersyukur ke hadrat illahi kerana masih diberi peluang untuk sekali lagi menyambut tahun baru mengikut bulan islam. Segala nikmat yang diberikan termasuk nikmat iman, islam, kesihatan, kesejahteraan dan keamanan telah kita rasakan pada tahun lalu, berdoalah agar Allah peliharakan masih anugerahkan segala nikmatNya pada kita untuk tahun yang akan datang dan tahun-tahun seterusnya.

Tanggal 15 November 2012 bersamaan 1 Muharam 1434 Hijrah, yakni malam ini dengan izinNya kita akan menyambut Maal Hijrah. Oleh itu, di sini saya ingin kongsikan doa akhir tahun dan awal tahun yang sering kita baca setiap kali menjelang tahun baru muharam... Doa akhir tahun dibaca pada penghujung waktu asar manakala doa awal tahun dibaca setelah masuk waktu maghrib. Namun suka ingin saya ingatkan pada teman-teman, bahawa doa boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja. Doalah yang menjadi kekuatan kita, yang menjadi penghubung antara kita dan Pencipta. Ada yang berpendapat bahawa membaca doa awal dan akhir tahun ini adalah salah satu daripada perkara bidaah kerana tidak dilakukan pada zaman nabi. Perkara yang bidaah banyak kategorinya, mungkin dapat diulaskan suatu hari nanti namun dalam hal ini, ianya bergantung bagaimana cara pemikiran dan tahap kefahaman kita. Isu bidaah timbul apabila terlalu percaya dan yakin bahawasanya apabila membaca doa ini segala dosa yang dilakukan sepanjang tahun lalu diampunkan dan tidak akan diganggu sepanjang tahun akan datang sedangkan doa ini sekadar usaha kita dan segalanya terletak pada ketentuan ALLAH. Saya berpendapat bahawa selagi mana kita membaca doa yang membawa kepada kebaikan dan menepati syara’, tidak mengapa untuk meminta pada yang sepatutnya kita pinta. Mohon padanya agar dosa-dosa yang lalu diampunkan..mohon agar kita tetap dipimpinNya pada masa akan datang.








Akhir sekali teman-teman, SALAM MAAL HIJRAH 1434 Hijrah !
Ayuh tranformasi diri menuju Rabbani..=)




Mohd Syakirin Bin Md Zahar
Timbalan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM)
Pengerusi Majlis Dakwah dan Kebajikan GAMIS

PMIUPM :PENCETUS INSPIRASI
GAMIS :GAMIS MEMPIMPIN PERUBAHAN

No comments:

Post a Comment

Beramah Mesra